December 14, 2009

Tertinggal

Tidak tahu di mana salahnya. Tidak dapat dikenalpasti manakah lobang-lobang yang muncul dalam pikiranku ini. Yang pasti tidak banyak hasil semenjak dua menjak ini. Jika dilihat kepada rakan-rakan lain di sini, ada yang masih cekal menulis namun ada juga yang sudah terkubur tanpa khabar. Mungkin tiada kelapangan masa,mungkin juga masih belum selesa berada di tempat orang ataupun semata-mata hilang kata-kata. Aku sendiri pun tidak pasti, susah benar mengeluarkan apa yang ada di hati. Otak kurang dirasai denyutannya ,pikiran bagaikan beku sepanjang 3 bulan ini . Mungkin perasaan teruja itu masih belum hilang, ataupun rindukan kampung halaman itu masih dibilang-bilang.

Yang pastinya, diri ini masih kurang muhasabahnya. Bagaikan hanyut dalam dunia yang umpama mimpi di dalam mimpi. Hanyut hingga hampir terlupa kematian itu pasti. Kita andaikan ajal itu masih jauh sedangkan ianya hanya menunggu satu saat yang pasti hadir. Kita rasakan diri ini selamat jika berada di tempat yang kita "anggap" selamat. Kita rasakan pasaraya itu tempat selamat namun ada saja yang menemui ajal disana. Kita rasakan maut itu hanya di jalan raya namun ada saja yang dilanggar semasa tidur nyenyak di dalam kamar. Ramai yang masih bergelak tawa sedangkan ianya adalah peringatan bagi kita yang masih mampu untuk menghirup udara percuma, mengangkat tangan dan kaki pinjaman, melihat dengan mata yang akan menjadi saksi di sana kelak.

Dari Ibnu Umar r.a., Rasulullah saw. bersabda, “Sesungguhnya hati itu berkarat sebagaimana besi berkarat jika terkena air.” Tanya sahabat, “Ya Rasulullah, apakah pembersihnya?” Sabda beliau, ”Banyak mengingat maut dan membaca Al-Quran.” (Baihaqi).

p/s: rasanya sudah banyak post di pikiranku mengenai kematian. namun tetap ingin di tulis jua untuk mengingatkan diri penaip keyboard ini yang sering bermimpi dalam mimpi. moga diberi ilham olehNya untuk terus berpikir.


November 18, 2009

Percintaan Pemangkin Kegagalan


Sudah lama aku teringin untuk menulis tentang analisis daripada kajian yang dilakukan secara tidak langsung sepanjang aku di peringkat menengah atas dan juga ketika di kolej. Namun disebabkan aral yang sentiasa melintang di depanku maka baru sekarang berpeluang untuk menulis.

Zaman remaja merupakan suatu tempoh masa yang dikatakan cukup indah untuk setiap manusia. Masa untuk bergelak tawa, bercintan-cintun ,bak kata orang "muda sekali saja, kita enjoy sampai lebam la beb". Pada tempoh masa inilah peningkatan hormon dalam tubuh badan manusia meningkat menyebabkan timbulnya rasa minat yang cukup tinggi terhadap pasangan yang berlainan jenis. Tidak hairanlah mereka yang tidak mempunyai pasangan dilabel sebagai "loser". Mungkin akibat dari budaya dan pemikiran serong yang kita amalkan.

Hasil dapatan kajian aku menunjukkan 88.89% daripada mereka yang dikenalpasti sebagai pasangan bahagia berhadapan dengan kegagalan. Kegagalan disini bukanlah bermaksud perhubungan itu gagal namun kegagalan dalam proses mengejar cita-cita(ni baru kejar dunia). Kononnya dengan bercinta, pikiran menjadi lebih tenang, pelajaran makin dapat difokuskan dan kehidupan menjadi lebih "happening" dengan wujudnya pasangan yang boleh di ajak bersembang hingga ke jam 3 pagi. Ada juga yang mencanangkan dengan adanya pasangan, pengajian secara berkumpulan(walhal berdua sahaja) menjadi lebih efektif dan inovatif malah eksklusif dan tidak terkecuali romantis.

Secara realitinya, percintaan yang tidak matang ini mengundang musibah yang besar.Mungkin kerana emosi di peringkat usia remaja masih tidak dapat diimbangkan menyebabkan yang lain turut serta terumbang-ambing. Dan kehadiran pasangan menambahkan lagi ketidakseimbangan ini walaupun kononnya hadir sebagai tempat mengadu dan mendambakan kasih.

Percintaan bukanlah faktor utama kegagalan, ada banyak lagi faktor-faktor besar lain yang berkaitan namun pada pendapat aku ia adalah pemangkin. Mungkin analisa ini ada kekurangannya kerana bilangan respondan yang terhad, namun keputusannya agak jelas. Kita mempunyai hak untuk memilih, menjadi seorang "loser" dalam percintaan atau "loser" dalam mengejar cita-cita.

p/s: mungkin 4 tahun lagi analisis mengenai perkahwinan di peringkat ijazah pula. moga diberikan umur yang panjang.

November 7, 2009

Prinsipal

Dulu-dulu aku selalu konfius mana satu prinsipal(prinsip) dan mana satu prinsipal(pengetua). Prinsipal(pengetua) adalah individu yang menjadi tulang belakang dalam mana-mana institusi pengajian manakala prinsipal(prinsip) pula adalah tulang belakang dalam pembentukan jati diri seseorang. Ramai yang kurang sedar akan pentingnya prinsipal dalam kehidupan kita. Malah ada yang memegang kepada prinsipal mengikut sahaja orang lain yang jelas akan merosakkan segala-galanya.

Manusia kadang-kadang sukar untuk menerima sesuatu yang baharu dan hati kecil kita sering mendesak untuk mencuba. Tidak hairanlah jika berlaku kejutan budaya tidak kira di mana sekalipun. Samada mereka yang dari kampung ke bandar mahupun yang dari bandar ke bandar yang lebih 'bandar'. Semuanya akan mengalami kejutan ini.

Disinilah perlunya prinsipal yang akan mengawal segala tindakan dan pergerakan kita bagaikan prinsipal di sekolah. Bukanlah bermaksud setiap perkara itu mesti di tinggalkan sepenuhnya namun perlu ada batas-batas yang di gariskan. Prinsipal inilah yang akan memastikan keputusan yang di buat tidak semata-mata berasaskan nafsu dan pengaruh rakan-rakan. Mengelakkan kita dari terjebak dari perkara yang tidak diingini.

Prinsipal pula janganlah diambil dari buku-buku motivasi kerana kita sudah ada buku agung sendiri. Tak perlu lagi merujuk kepada teori-teori rekaan manusia yang mereka sendiri gagal mempraktikkan kesemuanya.

September 21, 2009

Perigi dan Timba



Kebiasaannya dalam masyarakat kita, timba yang mencari perigi maka jika berlaku kejadian perigi mencari timba ianya menjadi buah mulut malah kutukan orang. Walhal tiada salahpun di sisi agama tetapi dipandang serong dan tidak manis bak kata orang tua-tua.

Satu masalah pula bila ada jenis-jenis timba yang mengidap penyakit kurap yang suka benar menggatalkan diri di telaga-telaga. Telaga pula nampaknya berminat benar dengan kurap-kurap di timba, nanti tak pasal-pasal muncul pula cetong-cetong di tepi telaga.

Jika di zaman dahulu, bukan timba yang cari perigi dan bukan juga perigi yang cari timba. Yang menyatukan kedua-duanya adalah tuan punya perigi dan timba. Kerana mereka lebih tahu timba mana yang sepadan dengan perigi kepunyaan mereka. Mengikut kajian,rupa-rupanya perigi dan timba yang disatukan tuan-tuan mereka ini boleh kekal lama. Mungkin kerana perigi itu betul-betul terjaga, bersih dari lumut dan sampah, jauh sekali bekas kurap timba lain.

Mungkin ada yang menganggap kaedah ini kolot dan ketinggalan zaman kerana dizaman ini semua orang bersosial dan tuan punya langsung tidak memahami jiwa dan perasaan perigi dan timba. Namun percayalah, tuan punya pasti memilih yang paling elok untuk dijadikan pasangan dan teman sepanjang hayat kepada perigi dan timba mereka.

Perigi dan timba buatlah keputusan sendiri. Ini hanyalah saranan dan pesanan bukan nya teguran atau paksaan.




September 9, 2009

Kemuncak KIJ

Bagaimana perjalanan kursus??
Apa cerita dengan jiwa kita setelah hampir 20 hari berkursus??
Sudah bersediakah dengan bahagian kemuncak kursus???

Malam ini sudah masuk hari ke-20 kursus kita berjalan. Secara tentatifnya kursus berjalan lancar namun dari segi pesertanya pula nampak agak lunyai dan longlai. Walhal sepatutnya 20 hari yang berlalu telah memberi impak kepada jiwa kita dan terus membakar semangat kerana kemuncak kursus adalah pada 10 yang terakhir. 20 hari yang lepas adalah seperti peringkat saringan. Seperti mana di English Premier League, MU takkan menjadi juara keseluruhan sekiranya mereka hanya bermain 28 perlawanan daripada 38 perlawanan keseluruhan. Mereka juga tidak akan menjadi juara jika hanya bersemangat di dua minggu yang pertama EPL. Begitulah yang sepatutnya kita lakukan dalam menjalani KIJ. Namun apa yang di perhatikan, semakin hari semakin merosot kehadiran peserta ketika modul malam. Banyak alasan yang diberi, risau tak sempat merasa "moreh" lah, rindukan "colek buah" lah dan macam-macam lagi.

Sekarang inilah masanya untuk menukar ke gear paling tinggi, memecut dengan jiwa kelajuan. Memanfaatkan masa kursus yang hanya berbaki 10 hari lagi dengan mengikuti segala modul dengan penuh konsentrasi dan mengharapkan ganjaran yang besar yakni untuk mencapai tahap professional(TAQWA).

Di 10 malam terakhir ini juga, KIJ menghadiahkan kita satu modul yang seringkali di abaikan oleh peserta iaitu modul "Tidur sedikit berkursus banyak". Memang inilah modul yang paling berat dalam KIJ itu sendiri. Ramai peserta yang kecundang diulit mimpi indah bertemankan bantal dan tilam yang empuk. Namun begitu ianya bukanlah suatu yang mustahil untuk diikuti, sepertimana yang sering saya katakan, semuanya telah tersedia yang tinggal hanyalah KEINGINAN. Semuanya bergantung kepada diri sendiri. Jangan biarkan NAFSU yang telah hilang regunya SYAITAN(dah masuk ISA) mengalahkan pasukan IMAN dan AKAL kita. Mungkin mereka yang kecundang boleh dikategorikan sebagai golongan BERNAFSU GAJAH.

Berita baik untuk peserta kursus!!!
Cabutan bertuah akan diadakan bila-bila masa dalam 10 malam terakhir!! Hadiahnya bukannya cikai-cikai. Tak payah disebutkan pun sudah tahu kan. Gunakanlah peluang berkursus kali ini kerana tahun depan mungkin nama kita sudah dibuang dari senarai peserta. Mari sama-sama bergegas ke modul "Tidur sedikit berkursus banyak".

"Nak mencapai tahap professional(TAQWA) itu bukannya mudah"

Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu BERTAQWA(2:183)

September 7, 2009

Nuzul Quran

Tiada gunanya jika hari Nuzul Quran hanya dikenang sebagai cuti umum tahunan sedangkan Al-Quran itu sendiri jarang dijamah, apatah lagi untuk diamalkan dan masakan pula untuk di angkat sebagai asas perlembagaan negara.

Moga kita semua hidup dengan jiwa Al-Quran.Amin.

September 1, 2009

Tanggal 11 Ramadhan

Setinggi-tinggi syukur dipanjatkan kepada Ilahi kerana masih berpeluang untuk hiduo di hari yang kesebelas di bulan mulia ini. Tarikh 11 Ramadhan 1430 menandakan genaplah setahun(hijri) usia blog Pikiranku yang bermula dari entri pertama ditulis tanggal 11 Ramadhan 1429. Ucapan terima kasih ingin diberikan kepada semua pemikir samada yang baru mahupun yang lama kerana sudi singgah untuk sama-sama berpikir disini. Permohonan maaf juga ingin di pinta kerana ada kalanya, entri-entri yang ditulis secara tidak sengaja atau sengaja telah terkena di atas kepala anda. Semua itu adalah untuk mencetuskan suatu pikiran kepada pemikir-pemikir sekaligus sebagai muhasabah diri penulis sendiri.

Dalam jangka waktu setahun ini, Pikiranku telah melalui beberapa proses transformasi samada pemikir sedar ataupun tidak. Perubahan adalah perlu sejajar dengan usaha untuk memperbaiki peribadi dan kehidupan sedia ada. Diharapkan para pemikir terus-menerus berpikir tidak kira di mana saja blog yang disinggah kerana manusia itu istimewa kerana memiliki PIKIRAN.

p/s: kursus dah berjalan 11 hari...jiwa kita apecer??


August 31, 2009

MERDEKA

Yang dilaungkan

MERDEKA!!
MERDEKA!!
MERDEKA!!


Yang difahami

MERDEKA??
MERDEKA??
MERDEKA??


Yang disumbangkan

..................
..................
..................


p/s:selamat menyambut hari kemerdekaan negara yang ke-52


August 25, 2009

Sebat Menyebat

Heboh di muka depan akhbar-akhbar perdana mengenai hukuman sebat yang dijatuhkan kepada Kartika apabila beliau dengan rela hati mahu agar hukuman dilakukan ke atasnya. Hari ini ditangguhkan pula atas sebab menghormati bulan Ramadhan. Walaupun sebatan yang dikenakan bukanlah berdasarkan hukum hudud namun ianya bagaikan satu titik tolak kepada perlaksanaan hukum tersebut di negara Malaysia yang dicanang-canang sebagai sebuah negara Islam.

Aku rasa cukup marah dan jelek dengan satu kenyataan yang di buat oleh sebuah badan legislatif di Utusan

Malah, hak asasi manusia antarabangsa juga mengutuk hukuman sebat dan apa jua hukuman dera. Hukuman ini dianggap sebagai zalim, tidak berperikemanusiaan dan kami menggesa kerajaan untuk menghapuskan hukuman sebat ini
Hukuman sebat terbukti bukanlah suatu hukuman yang boleh dijadikan teladan kepada orang lain.
Berkata-kata seolah-olah dunia ini mereka yang punya, merekalah yang paling berkuasa. Kenyataan ini tidak mungkin akan dijadikan isu besar memandangkan yang mengeluarkan kenyataan bukanlah ahli politik. Kalau dari ahli politik pastilah dijadikan tajuk utama akhbar-akhbar.

Hukuman hudud jelas diturunkan dari langit dan bukanlah hasil dari pemikiran otak manusia yang mempunyai rendah dan terhad. Ianya yang Maha Alim dan Maha Adil yang tahu bagaimana caranya untuk memberi pengajaran dan teladan kepada manusia ciptaanNya. Kenyataan di atas ini secara tersiratnya menghina hukum hudud dan secara tidak langsungnya mahu merendahkan yang menciptanya. Kita sebagai orang beriman harus berasa benci dan marah dengan tindakan mereka yang cuba mencemarkan agama.

Mungkin mereka yang mengeluarkan kenyataan sudah boleh mula mencipta bumi,langit, udara dan air mereka sendiri kerana yang ada sekarang ini semuanya hak milik Yang Esa. Kalau dah cipta tu bolehlah pindah cepat-cepat, menyemak saja di dunia ini.

August 21, 2009

KIJ

Sekali lagi kita akan melalui satu kursus yang amat tersohor dan di kenali ramai. Lebih hebat dari ESQ atau mana-mana kursus-kursus lain yang dicanang boleh mengubah manusia. Kursus ini telah di reka khas oleh "Engineer" manusia itu sendiri yang sudah tentulah Dia yang maha tahu apa yang diperlukan manusia. Dengan silibus yang telah lengkap disusun daripada fajar sehingga fajar keesokannya selama sebulan, outcome di kemudian hari sepatutnya amat lah memberangsangkan. Namun begitu, harap semua sedia maklum bahawa kursus ini tidak menyediakan seorang pun fasilitator. Semuanya bergantung kepada diri sendiri. Tiada orang yang akan memaksa kita. Silibus sudahpun di gariskan, yang perlu hanyalah KEINGINAN. Inilah masanya untuk kita membetulkan semula jiwa yang telah kusam dengan pelbagai noda. Inilah masanya mempergunakan kursus yang telah direka khas untuk mengubah diri, memperbaharu matlamat, dan menetapkan perjuangan.

Perlu diingatkan juga, kursus ini bukan hanya berkisar kepada ibadah-ibadah yang dilakukan sepanjang hari tetapi sepatutnya lebih tertumpu kepada penghayatan kita kepada buku manual yang diturunkan khas sebagai panduan dan petunjuk untuk menjadi seorang manusia. Gunakan masa yang secukupnya untuk menelaah kembali buku manual. Jangan pula jadi burung kakak tua,baca semata-mata untuk menghabiskan satu buku sedangkan sepatah pun tidak difahami. Ini adalah suatu yang biasa dilakukan kita dalam sedar atau tidak. Cari buku manual berterjemahlah ye.

Kursus ini juga merupakan masa untuk kita tunjukkan kemampuan kita ke tahap yang tertinggi. Kesabaran kita mengawal hawa nafsu, kesungguhan kita untuk memahami buku manual dan keinginan kita yang tinggi untuk sentiasa komited dalam setiap kerja/ibadah yang dilakukan. Diharapkan sepanjang kursus ini semua dapat memberikan yang terbaik untuk mendapatkah hasil yang terbaik. Peluang jangan dilepaskan kerana tahun depan mungkin kita sudah tidak berpeluang turut serta dalam kursus terbaik di sekalian alam "Kursus Intensif Jiwa".

Selamat Berkursus

August 16, 2009

Hijau

Hijau Itu Indah

THINK GREEN

August 15, 2009

Jaga

"Jaga tepi kain orang satu kewajipan"

"Masuk kain orang jangan sesekali"

August 11, 2009

Selsema Bab 1

Ingatkan di Yaman saja jumpa orang pakai purdah tapi balik Malaysia pun ramai pula yang berpurdah. Cuma yang lainnya disini jarang benar yang memakai abaya, lebih ramai yang memakai short pant dan juga t-shirt. Inilah penangan selsema babi. Semuanya jadi kelam kabut. Setakat ini sudah 32 orang yang menjadi korban di negara kita dan yang terjangkit sehari-hari semakin meningkat. Perdana Menteri telah pun melancarkan kempen besar-besaran untuk mengawal penularan wabak influenza ini. Ada gesaan supaya orang ramai mengelak dari berkunjung ke tempat-tempat tumpuan manusia untuk mengelakkan jangkitan dan menjadi punca jangkitan pula kepada orang lain. Mungkin tempat paling bahaya adalah semasa demonstrasi GMI tempoh hari. Namun tidak dengar pula pendemonstrasi yang terkena jangkitan. Yang ada cuma pening-pening dan muntah akibat dibedil meriam air dan juga terhidu gas pemedih mata. Nasib baik dibawa bekal garam dari rumah, boleh la juga dijadikan penawar bagi kurang sedikit sakit. Tahniah di ucapkan kepada pendemonstrasi dan tahniah juga kepada pegawai keselamatan yang 'tegas' dalam menjalankan tugas mereka mengawal keselamatan orang ramai (pendemonstrasi tak termasuk golongan orang ramai ke??)

Berbalik semula kepada alkisah selsema babi yang telah membunuh beribu-ribu manusia di dunia walhal setakat ini tiada seekor pun babi yang mati kena selsema. Pelbagai kempen kesedaran sudah dilancarkan bagi memberi kesedaran tentang bahaya selsema babi. Memang tidak disangkal kempen ini sedikit sebanyak dapat menghalang dari jangkitan, namun apa yang kita hadapi sekarang adalah musuh halimunan. Menyerang tanpa kelibat, membunuh tanpa memilih siapa. Tapi kita juga mesti percaya, kecil macam mana pun virus itu, hebat tahap mana pun, ia tetap makhluk. Dan makhluk mesti ada penciptanya. Mungkin dalam kita sama-sama mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelak virus ini ada patutnya kita minta doa kepada pencipta virus. Agar diri kita sentiasa terhindar dari virus bala ini. Sebab kita manalah tahu, semasa pakai topeng virus tak datang, bila kita bukak saja topeng untuk makan dia datang pulak. Mari sama-sama mintak doa pulak ye.

p/s: Kempen kesihatan sudah merata-rata, kempen solat hajat tolak bala besar-besaran bila pula.

August 7, 2009

Worthy



"Thinking is what makes a person worth being human"

"Serving the Creator is what makes a human worth being a creation"

"Guiding the nation is what makes a creation worth being Khalifah"


August 1, 2009

Sohabi Samir

Sedang aku melepak di tiang masjid, seorang lelaki menegur.Agaknya terpikat dengan si DIA. Memang DIA yang aku bawa selalu menjadi tarikan. Mungkin tidak pernah dijumpai di bumi Yaman. Lelaki itu bertanya dalam bahasa Inggeris yang agak lancar dan petah tidak seperti orang Yemeni lain. Namun aku dengan niat nak praktis bahasa yang aku baru belajar membalas pertanyaan dalam bahasa Arab la kan. Setelah bersembang seketika, habis sudah kosa kata aku gunakan maka dengan secara automatiknya bahasa Inggeris juga terpaksa dijadikan medium persembangan kami. Rupa-rupanya dia bekerja di kedutaan Amerika di Yaman. Tidak hairanlah cair saja percakapannya. Dan rupa-rupanya juga dia tinggal di rumah kakaknya yang hanya lima enam langkah dari rumahku di Mazbah. Maka pergi la aku melawat rumahnya. Banyak benda yang disembangkan dari mentaliti masyarakat di Yaman sampailah kepada keluarganya yang berada di Europe dan Amerika.

Korek punya korek, keluar la cerita pasal zaujah dia. Zaujah dia juga dari Yaman tapi dibesarkan di Amerika. Maka aku dengan bersemangat tanya la macam mana dia boleh kenal zaujah dia tu. Rupa-rupanya yang mengatur adalah kakaknya yang tinggal di New York. Senang dan 'simple'. Tak perlu melalui peringkat percintaan yang tiada pasti penghujungnya. Dan yang lebih menyenangkan hati aku bila mendengar mengenai zaujah sahabat baru aku ini ialah seorang hafizah dan sedang menuntut dalam bidang perubatan. Sejuk perut ibu mengandung. Sejuk juga hati seorang suami. Terasa juga hawa-hawa sejuk di hati aku.Teringin aku untuk merasa kesejukan tu. Maka tugas yang paling berat sekarang adalah membina diri sendiri yang kadangkala terumbang ambing dalam dunia yang indah hanya sementara.

p/s: Orang Yemeni kat UK banyak ke ek???Hehe













July 28, 2009

Sudah Tiba Masanya

Dalam kehidupan yang serba sementara dan tidak kekal ini kita tidak akan terlepas dari melalui proses 'decision making'. Ianya menjadi satu titik tolak dalam membentuk arah tuju dalam kehidupan kita.

Namun begitu, proses 'decision making' selalunya dipengaruhi oleh mereka yang rapat dengan kita samada ahli keluarga mahupun rakan-rakan. Tekanan yang dikenakan ke atas kita boleh menyebabkan keputusan yang dibuat tidak kena dengan hati dan keinginan sendiri. Kita seperti terlalu ingin menjaga perhubungan dengan mereka sehinggakan hubungan dengan diri sendiri terabai.

Saya nak jadi arkitek tapi mak bapak saya suruh jadi doktor sebab sayalah harapan keluarga.

Saya nak pergi belajar kereta tapi kawan-kawan semua tak nak. Tak jadilah belajar, takde member. Tak best.


Inilah apa yang terjadi apabila orang lain bagaikan mereka yang mengawal masa depan kita sedangkan kita sendiri yang akan menanggung segala kebaikan atau keburukan dari keputusan yang dibuat.

Memandangkan kita semua boleh berpikir dengan matang, sudah tiba masanya untuk kita mendengar apa kata hati. Kerana itulah yang kita ingini dan itulah apa yang kita mahu jadi. Mungkin pandangan dari orang lain itu perlu dalam kita membuat keputusan namun jangan sesekali dipengaruhi keseluruhannya oleh mereka.

Berdoalah agar hati kita sentiasa mendapat petunjuk dariNya

July 23, 2009

Purdah Berjeans



Purdah sering dikaitkan dengan golongan yang menjaga maruah dengan menutup auratnya daripada dipandang oleh golongan ajnabi.

Jeans pula adalah pakaian para remaja yang ranggi lagi lasak ditambah pula dengan potongan straight cut mahupun boot cut yang sering menjadi pilihan popular. Pemakai seluar jeans digambarkan sebagai moden, techno, dan selari dengan arus perubahan dunia.

Maka apabila seluar jeans digabungkan dengan purdah dengan tidak semena-mena satu persepsi buruk dilontarkan. Mungkin kerana satunya nampak positif dan yang satu lagi negatif.

Memandangkan Malaysia merupakan satu tempat pelancongan pilihan bagi pelancong dari Timur Tengah, maka berduyun-duyunlah mereka meronda-ronda di tengah bandar,memenuhi pusat membeli belah yang sudah pun penuh dengan kawan-kawan kita sendiri.

Ini antara dialog yang selalu dikeluarkan bila ternampak pelancong Timur Tengah ini

Minah arab tu korang tengok je pakai purdah. Tapi bawah purdah pakai seluar jeans. Hapekebendantah diorang ni. Baek tak payah pakai purdah. Bukan baek sangat pon.

Tanpa berpikir, terus saja diberikan hukuman. Kalau minah arab pakai purdah dan berseluar jeans dituduh macam-macam tapi bila tengok pula minah Melayu yang sememangnya tidak memakai purdah dan berseluar jeans(yang ketat biasanya) tidak pula dikomen. Tak apa, memang pakaian orang Melayu seluar jeans tu. Makin ketat makin Melayu. Makin nampak peha dan p******* makin jelas ketimurannya.

Untuk pengetahuan semua pakaian serba hitam yang biasa kita lihat itu dipanggil abaya yang lengkap bersama dengan purdah. Pakaian tersebut di buat daripada kain tipis namun legap. Tujuan utama adalah untuk menutup aurat sejajar dengan undang-undang yang telah ditetapkan oleh pencipta Langit dan Bumi. Maka seluar jeans merupakan pakaian yang dipakai di bawah abaya bagi memudahkan mereka melakukan tugasan harian. Maka kenapa kita cepat benar menghukum mereka.

Selepas ini berhentilah mengumpat mereka yang berpurdah dan berseluar jeans. Baik kita berdoa agar ramai yang mengikut trend itu. Dan ada baiknya juga jika kita mengutuk mereka yang bukan sahaja berseluar jeans yang ketat lagi sendat malah pakai pula baju adik mereka. Walaupun pernah disebut sebelum ini yang mereka tidak bersalah tapi kutuklah juga untuk kebaikan bersama.







July 20, 2009

Pikiran Daud

Jodoh ada tiga jenis jodoh.

Jodoh dari Syaitan… berkenalan, berpegangan tangan, buat maksiat, mengandung lalu bernikah.

Jodoh dari Jin… berkenalan, bertepuk sebelah tangan, lalu dibomoh dan disihirkan sebelah pihak sampai tunduk mengikut kemahuan lalu bernikah.

Jodoh dari Allah… cinta berputik, masuk meminang dan langsung bernikah, itulah SYURGA CINTA.


Dah beberapa kali rasanya ternampak ungkapan-ungkapan di atas ini di dunia blog. Walaupun dah ketinggalan tapi rasa nak letak la juga di Pikiranku. Almaklumlah, kat Yaman ni tak ada panggung wayang apatah lagi cerita Melayu. Itupun nasib baik ada youtube. Boleh juga download dengan percuma.


Ini adalah Encik Daud(David) Teoh

Untuk pengetahuan semua, konsep asal cerita ini adalah dari Daud(David) Teoh. Maka tahniah kepada Daud kerana tahu dan reti membezakan jodoh. Tak sangka juga dia pun mempunyai kesedaran akan betapa pentingnya nilai jodoh. Mungkin lebih pandai daripada remaja-remaja seangkatan kita yang lebih suka jodoh dipilih oleh syaitan. Rasanya syaitan tu faham cita rasa nafsu para remaja. Jodoh yang ditemukan mesti "ngam"lah.

Tapi rasa agak malu juga apabila dipaparkan gelagat-gelagat manusia clubbing yang sememangnya bukanlah rekaan. Dan hakikatnya ramai manusia yang bergelar Islam turut sama berjoget,menari dan bersuka ria. Mungkin Daud buat filem ni nak bagi orang Islam ni sedar sedikit di mana letaknya agama dalam diri para syabab.

Filem ini tidaklah seronok mana pun untuk ditonton, sekadar suka-suka bolehlah. Yang paling aku tak suka adalah kesudahan filem. Selepas lelaki itu mempermain dan mempersendakan hati seorang perempuan, kesudahannya adalah mereka berkahwin jua. Kalau aku jadi perempuan tu memang sah-sah la kena lempang lelaki macam tu.

p/s:Tahniah sekali lagi kepada Daud kerana cuba menyampaikan mesej dakwah.Moga-moga Daud betul-betul berubah menjadi Daud. InsyaAllah





July 17, 2009

Thoughts

"Being the best doesn't means you are better than others but being bad does means you are worst than the rest"

"Being lonely doesn't means people don't like you and having a throng of friends doesn't means
people like to be with you"

"Being successful in every single thing you did doesn't means you are a champion but working hard towards achieving your dream is what makes you a champion"

"Being living comfortably in this world doesn't means you achieve everything because the real life is yet to come"

July 14, 2009

Tiada Pusat Membeli Belah

Mungkin nampak agak sedih jika melihatkan kepada tajuk post ini. Tapi memang tidak dapat disangkal bahawa tempat aku merantau sekarang ini tiada pusat membeli belah. Tiada langsung pusat. Tiada lagi yang terbelah. Tiada lagi cucuk tang sana cucuk tang sini.Tiada lagi yang nampak sini sikit nampak situ banyak. Semuanya berlitup penuh. Rasa lebih aman dan bahagia tanpa pusat membeli belah. Rasa bersih sikit mata ni. Tak tahu la pula apa jadi bila balik Malaysia nanti. Penuh habuk dan taik mata semula. Lebam mata penangan pusat membeli belah di negara sendiri.

Mari sama-sama panjatkan doa agar pusat membeli belah semakin berkurangan di negara kita. Bukan apa, pedih mata tengok pusat merata-rata. Rasa mau cucuk saja dengan kayu.

July 8, 2009

Dah mula

Manusia sememangnya makhluk yang mudah lupa.Semasa mengharapkan sesuatu setiap amalan dijaga, doa tidak pernah ditinggalkan, zikir sentiasa meniti di bibir dan semuanya bagaikan sempurna. Namun apabila yang diharapkan sudah di peroleh. Amalan sudah jadi tunggang langgang. Doa sudah berkurangan. Apatah lagi zikir yang jarang-jarang. Apakah kita sudah mula lupa. Perjalanan baru nak bermula. Banyak lagi proses kehidupan dunia yang akan kita lalui. Jangan jadi seperti kaum nabi Musa yang ingat akan Allah hanya di waktu susah, tiba sahaja di seberang Laut Merah terus lupa siapa yang memberikan pertolongan.

Jangan mulakan
.

July 6, 2009

Pertolongan


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

إِذَا جَاء نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ
Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah), -

وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ اللَّهِ أَفْوَاجاً
Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai,

فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ إِنَّهُ كَانَ تَوَّاباً
Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.

"ASTAGHFIRULLAHAL AZIM"
"SUBHANALLAH"
"WALHAMDULILLAH"
"WALAILALLAH"
"WALLAHUAKBAR"



July 4, 2009

Mikaeel Pergi


Siapa tak kenal Mikaeel Jackson memang tak tahu apa itu muzik. Beribu-ribu manusia berkabung atas pemergian Raja Pop yang cukup disayangi, walaupun kehidupannya diselubungi pelbagai kontroversi yang diketahui ramai. Namun dia pergi dengan nama yang cukup dikenali ramai, disanjung dan diingati. Biarpun ianya adalah dalam bidang seni suara namun ia tetap suatu pencapaian. Moga roh beliau mendapat tempat di alam sana.

Maka apa pula pencapaian telah kita peroleh,akan peroleh, atau masih lagi dalam proses perolehan. Adakah semata-mata untuk kita dan juga bakal anak bini di masa akan datang??? Adakah untuk mendapat nama dan gelaran???Adakah untuk membina satu empayar gah yang tiada tandingan??? Dan adakah pencapaian kita dapat di gunakan di masa depan kelak???Menyelamatkan batang tengkuk dari dibelenggu rantai-rantai yang tiada gambarannya.

Usah duduk saja, menanti peti atm jatuh ke riba. Ayuh!!Bingkas bangun dan berusaha.

June 22, 2009

Abrahah kembali

Gereja yang dibina Abrahah di Babul Yaman


Encik Abrahah merupakan seorang manusia yang mempunyai mentaliti seorang usahawan. Maka tidak hairanlah beliau dilantik sebagai Gabenor Yaman di zaman pemerintahan Raja Najasyi. Melihat kepada pesatnya kemajuan ekonomi di Mekah, Encik Abrahah menjadi gusar lantas melakukan 'market research'. Lalu didapati asas kepada kemajuan Mekah adalah kerana adanya sebuah rumah yang dinamakan Kaabah yang menjadi tumpuan manusia menunaikan umrah dan haji(cara jahiliah). Maka dengan kegeligaan otak 'businessman' beliau, dengan serta merta didirikan sebuah bangunan menyerupai Kaabah untuk menarik manusia-manusia ke Sana'a dengan harapan ekonomi dapat dikuasainya. Namun harapannya sia-sia, 'Kaabah versi Abrahah' langsung tidak mendapat sambutan ramai. Atas dasar hasad dengki dan iri hati, Encik Abrahah bersama tentera bergajahnya bertindak menyerang Kaabah namun dipatahkan oleh tentera Allah. Tahun tersebut yang dikenali sebagai Tahun Gajah juga melakar sejarah kerana lahirnya Rasul pemberi rahmat seluruh alam.

Negara kita mempunyai ramai yang mempunyai otak usahawan. Tidak hairanlah ekonomi kita masih stabil walaupun seluruh dunia dilanda krisis ekonomi yang parah. Salah satu bukti kehebatan pemikiran mereka adalah dengan terbinanya Taman Tamadun Islam. Dengan wujudnya replika-replika masjid sebanyak 21 buah itu, maka berduyun-duyunlah manusia melancong ke negara ini untuk merasai keunikan ciptaan masjid dari beberapa buah negara. Masjid-masjid ini memang dicipta untuk tarikan untuk sektor pelancongan semata-mata dan sememangnya bukan tempat untuk solat berjemaah(kecuali Masjid Kristal). Tahniah kepada mereka yang terlibat kerana berjaya mengimarahkan replika-replika masjid.

p/s: Tahniah juga kepada Encik Abrahah, legasi anda masih disambung sehingga ke hari ini.

June 20, 2009

Buah dari pokok



Memandangkan telah lama tidak menulis atas sedikit masalah teknikal yakni bahan yang diperlukan masih lagi dalam proses perolehan maka kali ini hanya mahu berkongsi gambar sejenis buah yang datangnya dari pokok. Tidak pernah lagi aku jumpa di tanah air. Rasanya manis tapi bukannya sebab gula. Rupanya seperti buah mangga namun semestinya bukan buah pauh. Bijinya bukan sebiji dan sememangnya banyak. Itulah dia sejenis buah dari pokok.


June 11, 2009

Secetong

Dekat sini baru tahu betapa pentingnya air. Jika di rumah boleh mandi berbakul-bakul, kat sini air ada beberapa cetong je. Hari ni baru merasa mandi(setelah 3 hari tak mandi sejak awal sampai). Tapi tak mandi pun takpe sebenarnya. Cuaca panas tapi udara sejuk je. Kire peluh komfem wangi la. Kepada budak-budak yang tak suka mandi bolehlah pindah ke Sana'a...hoho

p/s: kepada mereka-mereka yang suka bermandi-manda lama-lama kat rumah tu. Ingat-ingatlah
aku kat sini yang dah tak boleh nak merasa main air sesuka suki...mandi tu jimat-jimat sikit.


June 8, 2009

Lone Ranger


Aku dengan Bro Fazli(Bro Zul jadi cameraman)


Aku perantau tapi bukan perantaukamal...haha...sekarang berada di Dubai...transit selama 10 jam sebelum ke Sana'a...penat juga sorang-sorang ni...hoho...nasib baik jumpa bro Zul dan bro Faizal yang nak ke New York...boleh la juga buat sembang kejap..tapi diorang dah blah pon...so aku kesorangan sekali lagi...nak tidur la dulu...kepenatan,keletihan dan kepancitan

June 5, 2009

Sampai bila

Sampai bila
mahu duduk di bawah
menjadi kuli serta amah
sedangkan kita tuan punya tanah

Sampai bila
mahu mengangkat tangan
mengharapkan imbuhan
menantikan subsidi dan bantuan

Sampai bila
mahu menjadi pengikut
semua benda hanya diturut
semata-mata mengisi perut

Sampai bila
mahu bertikam lidah
dendam kesumat yang takkan sudah
tak hairanlah kita yang kena ludah

Sampai bila
mahu berpegang pada prinsip "takpa"
"takpa, ini tanah kita"
"takpa,ada orang jaga kita"

Sampai bila
mahu ketinggalan
orang lain sudah ke bulan
kita masih di tepi reban

Sampai bila
BANGSAKU


June 3, 2009

Ganu kite


"Na na na Ganu kite"

Lagu evergreen nyanyian Saleem yang cukup serasi dengan negeri jiran tempat tumpah darah aku, Terengganu Darul Iman. Jika dulu di muka depan akhbar pernah menayangkan kebanggaan Terengganu yakni Taman Tamadun Islam, hari ini pula penuh di dada akhbar cerita stadium pula. Usianya yang baru setahun semestinya belum baligh pun lagi tapi sudah tersungkur menyembah bumi. Malas nak bercerita banyak. Bukan ada gunanya.

Jika Tacoma Bridge di USA runtuh akibat bencana alam, terpikir juga apa sebab runtuhnya stadium setahun jagung di Terengganu.

p/s: Takziah kepada warga Terengganu. Ada hikmah di sebalik segalanya.


June 1, 2009

PB

Hanya tiga perkataan untuk PB
"TERBAEK"
"MANTOP"
"KOYAK"

May 30, 2009

Mesin Basuh

Berbakul-bakul baju dimasukkan ke dalam mesin basuh yang bersaiz besar bagak. Tujuannya jelas, mencuci segala kotoran,kesan minyak, lumpur-lumpur yang terpalit,menanggalkan tompokan darah yang penuh menghiasi segenap ruang. Tiga proses dilalui oleh baju-baju berkenaan yakni basuh,bilas dan dikeringkan. Keluar saja dari mesin basuh, berkedut-kedut keadaan baju, mungkin hasil daripada pusingan ganas mesin basuh. Membasuh dengan penuh semangat, dengan harapan baju yang dibasuh bersih dan suci hendaknya.

Alhamdulillah, baju-baju berjaya dicuci, tiada lagi bau hanyir,kepam,busuk dan bau-bau kurang enak yang sewaktu dengannya. Tiada lagi tompokan kuning, kesan peluh di ketiak. Tiada lagi cacat cela, bagaikan baru keluar dari kilang. Namun, baju pagoda tetap baju pagoda. Baju pagoda takkan jadi baju Nike atau Reebok. Tak kira di basuh berapa banyak pun ia tetap tidak berubah. Ia tetap baju pagoda. Mungkin baju yang telah cuci itu akan memberi sinar yang baru dalam menghadapi hari mendatang. Menyuntik semangat menempuh segala aral di tengah jalan. Walaupun tidaklah setaraf dengan baju Nike, dipandang hina, dicaci dan dicela, perjuangan tetap perlu di teruskan. Memelihara dan mempertahankan kawan-kawan sepagoda yang lain. Kerna baju pagoda jua pengakhirannya.

May 23, 2009

Tadika (TAMAT)

Gegak gempita dewan ujian dengan jeritan gegirangan budak-budak tadika.Walaupun hanya sebilangan yang ada memandangkan budak tadika yang mengambil aliran jual beli sahaja yang tinggal. Yang ambil aliran lain( budak demand-supply dan budak techno) sudah berada di rumah masing-masing. Pengajian selama dua tahun sememangnya perit dengan pelbagai musibah dan juga ujian yang terpaksa dihadapi oleh budak-budak tadika. Namun segalanya sudah berakhir. Yang tinggal, hanyalah kenangan. Tapi aku rasa ada juga budak tadika yang langsung tidak mahu mengenang tadika Kombonto. Itulah lumrahnya, biarkan,biarkan. Yang penting adalah persediaan untuk melangkah satu peringkat yang lebih tinggi. Biarlah betul-betul bersedia. Jangan pula tersungkur di tengah jalan.

Teringin pula aku untuk membuat senarai tentang kejadian-kejadian menarik di tadika.Ini adalah sedikit sebanyak yang boleh aku ingat. Jika ada tambahan, janganlah segan untuk menambah.
  • Pada minggu orientasi budak tadika, senior yang menjadi ketua komandan telah mengajar teknik senaman untuk menghilangkan stress yang tenyata menambahkan lagi stress lagi-lagi masa tu beratur di tengah panas. Aku pun kurang pasti berapa ramai yang ingat cara melakukan senaman tersebut. Harap boleh recall balik.
  • Pada minggu yang sama juga, budak-budak diperkenalkan dengan lagu tema Kombonto iaitu '45 is the maximum' berserta dengan tariannya sekali. Ramai yang sama-sama menyanyi dan menari mengikut rentak seorang cikgu tadika(nama dirahsiakan) Tariannya pula agak menarik(ala-ala Pussycat dolls).
  • Tahun pertama berlalu tanpa konflik yang besar lagi mengancam. Semuanya tenang sahaja.
  • Khabar angin tentang pengharaman ais krim Pak Cik Rashdi jadi berita gempar. Sehingga ada yang demam. Hakikatnya, beliau pulang ke kampung halaman di seberang Sungai Golok atas sebab rindu akan kampungnya.
  • Pihak pengurusan membuat keputusan untuk menghantar budak tadika yang baru mendaftar ke sukaneka antara tadika seluruh negara. Mengamuk habis budak senior, mereka yang sudah lama berlatih sukaneka kemudian tak dapat pula peluang untuk jadi wakil. Mana boleh dilepaskan pada budak hingusan yang baru mendaftar. Mana mereka reti main lari dalam guni. Mana boleh!!
  • Bilik lukisan tangan yang terkenal dengan tahap kepanasan yang agak melampau di ubahsuai. Semua meja dikeluarkan kemudian dijadikan kerusi. Pelik bin ajaib. Mungkin boleh cuba di rumah masing-masing. Memandangkan semua meja telah di 'transformers'kan menjadi kerusi, maka bilik oven tersebut tidak lagi boleh digunakan. Kepada yang pernah di salai dalam bilik tu, jangan sekali-kali lupakan pengalaman berharga yang hanya ada di Kombonto. Budak-budak yang baru masuk tadika takkan dapat merasa lagi.
  • Tadika Kombonto menerima seorang cikgu kanan yang baru. Agak tegas orangnya. Banyak ceritanya bermula dengan kata ganti diri pertama iaitu 'Saya'. Yang paling menarik, budak yang lewat ke tadika di denda menulis karangan pendek. Memandangkan budak suka menulis, ramailah yang datang lewat.
  • Sekeping surat ditampal di papan kenyataan. Surat rasmi pengharaman aiskrim Pak Cik Rashdi. Kali ini bukan lagi khabar angin. Pak Cik Rashdi yang dihubungi juga mendapat surat yang sama. Tamatlah era aiskrim Pakcik Rashdi maka bermulalah penguasaan total empayar nasi lemak.
Aku rasa ada lagi peristiwa penting yang aku tertinggal. Jika berkesempatan, senarai ini akan ditambah dari masa ke semasa.

Kepada budak-budak yang bakal masuk ke sekolah rendah selepas result 6 Julai nanti, gunakan masa yang ada sebaiknya, jangan asyik main guli saja. Main masak-masak lagi bagus, nanti boleh masak kat sana nanti.


May 19, 2009

Intelek Pro-Sampah

Aku sudah hampir ke penghujung di tempat ini. Banyak pengalaman yang telah diperoleh. Banyak lagi cabaran yang ditempuh. Yang paling banyak adalah belajar dari manusia. Itulah benda yang paling aku suka. Dijadikan cerita, tempat aku ini merupakan tempat perkumpulan manusia-manusia intelek. Betul ke tidak aku pun tak pasti, anggap saja semuanya intelek belaka. Memang semua tahu budak intelek ni mempunyai IQ yang lebih tinggi dari orang biasa atau bahasa kampungnya otak "pikap". Itu memang tidak boleh disangkal. Tapi satu benda yang menarik tentang budak intelek kat tempat ni adalah segelintirnya adalah "Pro-Sampah".

Sampah boleh dijumpai di mana-mana. Atas pili bomba, atas para masjid, atas tudung tong sampah, dan bilik tv yang sememangnya jadi tong sampah paling besar. Memang kadang-kadang aku tak boleh nak salahkan mereka. Mungkin lupa, mungkin juga tak ingat nak buang. Tapi bila masalah lupa jadi satu tabiat, itu yang bikin problem. Nak buang sampah dah susah, inikan pula nak buang tabiat buruk(suka buang sampah merata-rata). Aku sangat harap mereka yang selalu lupa buang sampah ni tak penah lupa basuh bila buang air. Takut-takut lupa pula.

Aku bukan berniat untuk nak memburukkan siapa-siapa. Tapi tabiat buruk ini menggambarkan krisis pemikiran yang ada dalam masyarakat kita. Jika golongan intelek pun masih tidak dapat mengikis tabiat ni, inikan pula golongan biasa. Mungkin ini adalah perkara kecil namun ia juga adalah perkara asas dalam pembangunan diri manusia.

p/s: Maaf jika tulisan ini terkena kepada kawan-kawan. Dah memang itu tujuannya.


April 10, 2009

Proses

Jika dulunya sibuk dengan UPSR, kemudian PMR dan SPM. Sekarang sibuk pula dengan final exam (IB/A level/Universiti). Kata-kata dari bapaku sering terngiang-ngiang di telinga, "Peperiksaan hanyalah suatu proses yang perlu dilalui oleh semua orang". Kita sendiri yang menjadi tukang memproses. Hasilnya dapat diukur dengan usaha yang dilakukan untuk melepasi suatu proses itu. Jika exam amat ditakuti oleh semua, maka "EXAM SEBENAR" kelak sepatutnya lebih ditakuti dari exam-exam yang biasa. Jika persiapan kita untuk "exam biasa" cukup teliti, sejauh mana pula kita membuat persediaan untuk yang sebenar. Sepertimana peperiksaan, kehidupan juga adalah suatu proses. Ada permulaan dan ada penghujungnya. Kita yang menentukan hasil akhir proses ini. Moga "exam biasa" tidak melalaikan kita dari mengingati "EXAM SEBENAR" yang tidak pasti bila akan tiba

p/s :Kepada rakan-rakan samada di dalam atau luar negara, di kolej atau universiti yang sedang bertungkus lumus untuk menghadapi "exam biasa", aku ingin mengucapkan selamat maju jaya. Kena ingat, "exam biasa" pun kena bagi mantop gak...hehe...moga kita sama-sama mencapai apa yang dihajati...insyaAllah

March 22, 2009

NEGARAKU

AKU DAH MUAK,MUAL,MENYAMPAH,MELUAT,BOSAN,BENCI, DAN !@*!@#*&$$#!~^&* DENGAN KISAH KORUPSI DI MANA-MANA SAJA

RASA NAK NYANYI LA PULAK...JOM KITA NYANYI BERSAMA-SAMA

SATU...DUA...TIGA

NEGARAKU
TANAH TUMPAHNYA DARAHKU
RAKYAT HIDUP
BERSATU DAN MAJU

RAHMAT BAHAGIA
TUHAN KURNIAKAN
RAJA KITA
SELAMAT BERTAKHTA

RAHMAT BAHAGIA
TUHAN KURNIAKAN
RAJA KITA
SELAMAT BERTAKHTA

SEKIAN TERIMA KASIH

March 20, 2009

C.I.N.T.A.(EP 7)

Kali ini aku ingin mengajak pemikir mengkaji istilah-istilah yang biasa digunakan bagi golongan terpilih atau lebih dikenali dengan gelaran "Remaja Bercinta".

Jatuh Cinta

Istilah 'jatuh cinta' merupakan suatu yang dikira "common" bagi mereka yang menaruh hati dan perasaan terhadap seseorang. Biasanya "jatuh" digunakan untuk menggambarkan keadaan objek yang memecut dari tempat tinggi ke arah pusat graviti bumi dengan halaju malar. Objek yang jatuh pula akan mengalami kecederaan contohnya pecah,luka,patah atau mungkin juga mati di tempat kejadian. Atas dasar itulah kebanyakan manusia yang jatuh cinta secara logiknya akan mengalami simptom-simptom seperti yang telah disebutkan di atas. Oleh itu, First Aid Kit harus disediakan terlebih dahulu sebelum jatuh cinta. Ianya terbukti mengakibatkan kecederaan.

Mabuk Cinta

Apabila seseorang itu mula bergelumang dengan cinta, setiap hari mesti diluangkan dengan kekasih tersayang maka mereka akan dilabel sebagai orang yang 'Mabuk cinta'. Istilah "mabuk" biasanya dikaitkan dengan keadaan tidak waras(bengong/gila) dan tidak boleh berfikir dengan rasional. Punca kepada keadaan mabuk pula adalah akibat pengambilan bahan-bahan yang memabukkan seperti tuak atau arak. Hukumnya jelas haram dan hukumannya pula adalah 40 kali sebatan. Kepada mereka yang mabuk cinta, hati-hati ye, jangan sampai ditangkap oleh jabatan agama kerana 'Cinta' diklasifikasikan sebagai bahan yang memabukkan.

Dibius Cinta

Sebut saja istilah ini teringat pula ost cicakman 2 nyanyian Melly Goeslow dan Yusry KRU. 'Dibius cinta' merupakan keadaan dimana seseorang itu akan menjadi 'high' dan selesa dengan cinta yang diperolehi daripada kekasih tersayang. Istilah "Bius" pula biasa digunakan oleh doktor sebelum menjalankan pembedahan. Mungkin yang paling biasa kita dengar adalah ketika adik kita(atau kita sendiri) 'bersunat'. Sakitnya boleh tahan tetapi kesannya yang hebat. Bius sebenarnya digunakan untuk menghilangkan rasa sakit tetapi jika digunakan dengan kadar berlebihan akan menyebabkan seseorang itu tidak sedarkan serta mungkin menghadapi risiko maut. Penggunaan ubat bius cinta juga mungkin menghadapi risiko sedemikian. Mungkin boleh rujuk disini apa yang perlu ada sebagai persediaan sebelum dibius cinta.

Kesimpulan yang boleh dibuat disini adalah 'Cinta' itu memudaratkan diri kita. sendiri. Kerana 'Cinta', anda mungkin tercedera, menjadi tidak siuman atau gila.

Sayangilah diri anda(Iklan jabatan kesihatan).





March 14, 2009

Megah berdiri

Semalam gua meronggeng di bandar sunway, kebetulan menghadiri majlis doa selamat member gua yang nak fly ke Jerman hujung bulan ni. Gua yang tak berapa tau jalan ni suruh la member gua yang sorang lagi amek gua kat sana. Untuk memudahkan dia cari gua, dia suruh gua tunggu betul-betul bawah kepala singa(memang member gua itu agak sengal sedikit). Gua pikir punya pikir, takkan la gua nak park tepi highway tu kan, nak mampos. Dah la kereta kakak gua. Maka gua pun teringat ada sebuah masjid yang gua pernah ternampak masa melepak di sunway pyramid. Dalam masa menunggu member gua sampai baru gua perasan yang memang singa tu besar tahap gaban. Dengan matanya yang bersinar memandang tepat ke arah masjid tu. Agak cuak juga melihat pemandangan tu pada waktu malam. Dah la gua sorang-sorang dok tunggu kat situ.





Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa patung kedua terbesar di dunia ini terletak di Tumpat, Kelantan(20 minit perjalanan dari rumah gua). Tapi berdasarkan pengamatan gua semalam. Gua cukup yakin singa tu jauh lebih besar dari patung tengah tidur di Tumpat. Mungkin sekarang kepala singa tu telah merampas kedudukan patung tidur. Mungkin juga berada di tempat pertama, suatu yang tidak mustahil kan?

Bagaikan dua unsur yang berlawanan dapat di lihat di bandar sunway. Patung 'terbesar'(anggapan sahaja) di dunia betul-betul bertentangan dengan sebuah masjid yang tidak kurang hebatnya. Namun yang pasti, jika patung itu boleh berkata-kata, semestinya dia akan berlagak dengan masjid tu. Apa tidaknya, manusia berduyun-duyun masuk ke tempatnya. Di masjid ada la juga manusia dua tiga kerat bila masuk waktu solat. Itupun mungkin hanya satu perseribu daripada pelawat di sunway pyramid. Nampak macam hiperbola tapi itulah hakikat yang sebenar.




March 8, 2009

"Terrorist" Bahasa


Amerika selalu menuduh orang lain sebagai pengganas. Kononnya memiliki senjata pemusnah. Tapi akhirnya, Amerika sendiri menjadi senjata pemusnah namun tidak pula mendapat gelaran pengganas. Mungkin kerana kedudukannya di atas orang lain.


"Kalau boleh hantar ke Gaza kan lebih bagus"


Aku pun kurang pasti siapa pula "pengganas" bahasa. Yang memperjuangkan bahasa atau yang mahu menjatuhkannya. Tapi jika kita tengok apa yang terjadi semalam di kawasan Istana negara, yang berjuang seolah-olah di label pengganas. Cuba mengancam keselamatan negara. Ditembak gas pemedih mata.Disembur dengan air . Di tahan dan di tangkap. Mereka cuma membawa memorandum bukannya lilitan bom di badan. Tahniah kepada pihak berkuasa yang 'patuh' kepada arahan. Gas pemedih mata hanya boleh menyuraikan mereka seketika namun perjuangan jangan diharap dapat dikuburkan sampai bila-bila.

Bahasa atau manusia

Rupa-rupanya keluar sahaja dari rahim ibu, kita sudah fasih berbahasa. Bahasa yang di fahami oleh semua peringkat bayi. Bahasa Tangisan. Nikmat Allah yang pertama kepada setiap manusia(kecuali yang dilahirkan bisu), tidak kira bangsa atau warna kulit, semua berkomunikasi dengan bahasa sama. Kemudian apabila sudah semakin besar, bahasa ini makin berkembang atau dengan kata lainnya makin maju. Maka timbulnya pelbagai diksi, kosa kata dan juga gaya yang menarik.

Setiap masyarakat bangga dengan bahasa yang di perolehi turun temurun. Malah dilagukan pula 'Bahasa Jiwa Bangsa'. Namun apabila bahasa dipandang rendah, di lihat sebagai ketinggalan zaman, di anggap sudah tidak relevan maka mulalah mencari bahasa lain sebagai pengganti. Sehingga sanggup menganaktirikan bahasa ibunda. Bunyi pun pelik kan. Ibu jadi anak tiri. Kononnya mahu mentamadunkan masyarakat. Mentamadunkan bangsa dengan bahasa asing. Mungkin kena cipta pula lagu 'Bahasa asing jiwa bangsa'.

Tidak perlu di ceritakan lagi kejayaan negara-negara bertamadun yang langsung tidak menggunakan bahasa asing. Setia dan percaya akan kekuatan bahasa yang dimiliki. Ilmu tiada berkurang sedikit, tetapi bertambah banyak.

Yang perlu diubah bukanlah bahasa yang digunakan tetapi manusia yang menggunakan bahasa. Jika pemikiran pengguna bahasa masih lagi di peringkat sekarang ini maka, gunalah bahasa apapun, hasilnya masih sama. Tidak akan berganjak sedikit pun. Rasanya tak perlu menulis panjang. Takut nanti bahasa aku disalah faham pula.

p/s: Aku paling anti kalau ada dua orang yang sama bangsa bersembang menggunakan bahasa asing. Maaf jika tersalah kutuk nanti kalau terserempak dengan aku.

p/s/s: Jika dulu sibuk pasal isu perkauman, sekarang sibuk isu perbahasa-an pula.

March 1, 2009

Nasi Lemak

Memang bukan menjadi satu kejanggalan bagi mereka yang tinggal di kepulauan Melayu untuk mengenalpasti apakah itu nasi lemak. Nasi yang ditanak dengan santan, ikan bilis digoreng rangup, mentimun segar dihiris dengan penuh teliti, kacang digoreng sehingga kuning, telur rebus yang siap di belah dua dan akhir sekali sambal yang ditumis secukup rasa maka lengkaplah apa yang dikenali sebagai nasi lemak. Untuk menaikkan lagi aroma, kesemua bahan-bahan dibungkus pula di dalam daun pisang yang kehijauan berkilat.Mungkin kawan-kawan di luar negara menitik-nitik air liur tergambarkan betapa lazatnya nasi lemak.

Al-kisahnya bermula di sebuah kolej yang kononnya sekolah dunia. Nasi lemak merupakan makanan ruji pelajar disitu. Pagi,petang, siang dan malam. Nasi lemak jualah pilihan. Tak kira masa, tak kira tempat. Nasi lemak juga di balun. Bukanlah atas dasar terliur atau terlalu inginkan nasi lemak tetapi apakan daya, hanya ada dua pilihan. Nasi lemak atau nasi lemak. Maka terpaksalah makan juga. Tak nak makan lapar. Makan rasa mual pula. Mungkin inilah strategi terbaru pihak pentadbiran untuk pelajar kolej. Memenuhkan perut dengan nasi lemak. Biar nanti lemak sampai ke otak. Biar nanti makin "pikap" otak budak-budak dengan adanya tenaga lebih dari nasi lemak. Terima kasih kepada yang membuat peraturan. Moga semua budak-budak akan berjaya menghadapi exam yang makin hampir ini dengan adanya makanan ruji yang tidak akan putus-putus bekalannya.

"LONG LIVE NASI LEMAK"

February 16, 2009

Mimpi

Ada orang kata mimpi itu satu ramalan masa depan(omen). Ada juga kata mimpi tu hanya mainan syaitan. Tapi kenyataannya dalam tempoh dua minggu ni aku dah melalui bermacam-macam mimpi. Tapi kan, mimpi ni biasanya tidak tahan lama dalam kepala otak(pikiran) kita. Yang aku ingat cuma apa yang aku mimpi semalam. Aku jadi kesatria. Macam biasa, mestilah kesatria lawan dengan naga nak selamatkan heroin. Yang ruginya aku tak sempat nak tengok muka heroin tu...huhu...

Ada seorang kawan aku yang beragama Buddha cakap kita hidup di dunia ni sebenarnya dalam mimpi kita dan yang mencipta alam ini adalah pikiran ( thought ) kita sendiri. Tujuan hidup adalah untuk mencapai tahap kesempurnaan dan jadi Buddha kemudian dorong orang lain pula untuk capai Nirvana. Menarik tapi memang memeningkan kepala aku.

Aku pula rasa hidup ini adalah mimpi yang bukan mimpi. Dalam dunia mimpi yang bukan mimpi ini, tujuan kita adalah untuk mencari bekal untuk ke dunia realiti yang kekal abadi. Jika bekal hanyalah sebungkus nasi dan segelas air maka apakah mungkin kita akan berupaya untuk 'survive' di sana nanti. Suatu hari yang pasti akan tiba, tatkala kita tersedar dari mimpi yang bukan mimpi ini.


“Sesungguhnya Hari Kiamat pasti akan datang, tidak ada keraguan tentangnya, akan tetapi kebanyakan manusia tiada beriman.” (40: 59)

February 6, 2009

Suka suki

Ada orang suka makan
Ada orang suka main bola
Ada orang suka cakap banyak
Ada orang suka belajar
Ada orang suka gitar
Ada orang suka pergi berkelah
Ada orang suka berjemaah
Ada orang suka tidur
Ada orang suka bertengkar
Ada orang suka gitar
Ada orang suka muzik
Ada orang suka tahan hak orang lain
Ada orang suka lompat parti
Ada orang suka ambil rasuah
Ada orang suka habiskan duit rakyat
Ada orang suka jadi bos
Ada orang suka pengikut

Lain orang lain sukanya
Lain hati lain cintanya
Lain otak lain pikirannya

Tapi kena sentiasa ingat

Dari Amirul Mukminin Umar Al-Khattab r.a katanya : " Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : - ' Bahwasanya amalan-amalan itu adalah ( bergantung ) kepada niat, dan bahwasanya bagi setiap manusia itu apa ( balasan ) yang diniatkannya. Maka barangsiapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu adalah kepada Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa yang berhijrah kerana dunia yang ingin ia memperolehinya atau kerana seorang perempuan yang ingin ia menikahinya, maka hijrahnya itu adalah atas apa yang ia berhijrah kerananya.'( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

January 30, 2009

Tadika mengganas

Setelah sekian lama isu tadika tidak kedengaran, habis sahaja tahun baru cina bermacam-macam kontroversi bercambah di tadika. Jika tahun lepas, kisah pak cik Rashdi di 'banned' hanyalah ura-ura namun pada kali ini ianya suatu kenyataan. Aku lihar ramai yang pengsan di notice board melihat surat yang dikeluarkan oleh cikgu besar tentang menghalang budak-budak tadika dari membeli aiskrim khas pak cik Rashdi. Satu tamparan yang cukup hebat kepada semua budak-budak. Kononnya, akan pihak pengurusan akan menyediakan aiskrim yang setanding ataupun lebih dari aiskrim pak cik Rashdi. Tapi yang ada hanya NGPR. Aku sendiri pun tidak pernah rasa tertarik untuk mencuba. Budak-budak macam robot di tadika. Bangun pagi pergi sekolah, maen plastisin, makan kek gulung, balik rumah main bola beracun, malam mula la nak siapkan buku skrap yang bertimbun-timbun. Memang macam robot, nak makan pun dihalang. Mungkin suatu hari nanti nak guna jamban pun ada 'limit'. Mungkin.

Hari ini juga seorang budak dari kelas Enggang Berlian dikenakan tindakan tegas. Di panggil oleh penyelia tadika. Dipotong rambutnya. Aku pun cuak juga tadi, nasib baik selamat. Aku pun pelik, yang berambut panjang disuruh potong tapi yang berambut merah tak kena apa-apa tindakan pun. Dah memang tadika tu pelik kan, nak buat macam mana. Sekarang ada guru kanan baru, katanya ganas juga. Penyelia ganas. Cikgu disiplin pun ganas. Semua orang pun ganas. Harap-harap budak kat sini tak jadi GANAS dan PELIK macam tadika bila dah keluar nanti.




January 22, 2009

DIA

Masuk hari ini sudah seminggu aku tak berjumpa dengan DIA. Masih segar di pikiranku kali terakhir aku melihatnya sebelum menunaikan solat isyak Khamis yang lepas. Lebih kurang setahun aku bersamanya. Ke pantai bersama, di rumah bersama, malah ke Bukit Merah pun bersama. Aku pun rasa pelik kenapa ada orang sanggup merampas DIA dari aku. Seminggu tanpanya membuatkan aku terasa amat kesunyian. Sedih, gusar dan tak keruan. Memang DIA memberi makna yang cukup besar untuk diriku yang hina ini. Rujukan segala masalah, peneman di kala kesunyian. Selama seminggu ini juga aku setiap hari tercari-cari kelibatnya namun tiada. Kecewa dan sedih hanya Tuhan yang tahu. Aku cukup mengharapkan kepada sesiapa yang terampas atau memang sengaja merampas DIA dariku supaya memulangkannya kembali. Kasihanilah diriku ini....Aku rindu DIA

January 13, 2009

Syukur dan sabar

Bila kita diberikan nikmat maka lafazkanlah syukur
Namun jika di anugerahkan musibah maka panjatkanlah sabar
Kedua-duanya ujian bagi kita
Menambahkan iman
Membetulkan niat
Mengingatkan kita yang lalai

Supaya usaha sentiasa ditingkatkan
Supaya hari ini lebih baik dari semalam
Hari esok InsyaAllah lebih elok
Supaya diri dekat padaNya

January 6, 2009

Penyakit

Tiada manusia yang 'invincible'. Tiada juga yang mempunyai kekuatan dan keupayaan melainkan segalanya kurniaan dari Ilahi.

Ada dua penyakit utama dalam diri manusia yakni penyakit syahwat dan penyakit syubhah. Kedua-duanya hasil susah payah makhluk bernama Syaitan yang menyelinap ke dalam salur darah kita. Menyorok di sebalik jantung kemudian membisikkan ke dalam hati.

Syubhah adalah penyakit di mana kita sentiasa dalam keadaan was-was. Tidak yakin dalam ibadah terutamanya. Ambil wudhuk sampai basah kuyup baju, bertakbiratulihram sampai tiga empat kali dan macam-macam lagi. Sememangnya itu adalah bisikan dari syaitan yang ingin kita jauh dari yang Maha Esa dengan lebih menumpukan permasalahan sah ke tak sah. Rawatan perlu segera dilakukan kerana lama-kelamaan bisikan syaitan akan lebih diyakini daripada benda lain. Maka syaitan akan cuba sedaya upaya untuk merosakkan pegangan iman seseorang.Kepada mereka yang ditimpa penyakit ini, kaedah untuk membuang penyakit ini adalah dengan banyak bertawakal kepadaNya kerana setiap amalan itu akan dinilai oleh yang Maha Esa. Maka kita sebagai hamba perlu melakukan dengan sepenuh hati dan bukannya dengan keadaan ragu-ragu. Amalkan juga surah An-Nas dan istighfar untuk menghalau keluar syaitan-syaitan yang berkampung di hati kita.

Penyakit syahwat pula adalah sesuatu yang memang menjadi musuh utama kepada manusia. Ia adalah pendorong kepada kita untuk melakukan perkara yang di luar daripada pikiran akal yang waras. Apabila segala tindakan kita hanya berdasarkan nafsu semata-mata, halal haram diketepikan, yang penting keseronokan dan kenikmatan tercapai. Mungkin anda juga bersetuju jika saya mengatakan bahawa golongan yang paling terdedah kepada penyakit syahwat ini adalah para remaja. Kemodenan zaman di masa kini lebih mendedahkan kita kepada virus-virus penyakit syahwat. Harus diingat bahawa keseronokan yang sementara di dunia ini akan di balas dengan azab yang berpanjangan di sana kelak. Menyibukkan diri dengan perkara berfaedah dapat mengurangkan potensi untuk mengidap penyakit kronik ini. Maka sibukkan diri kita dengan program ilmiah dan tazkirah untuk mengelakkan hati hanyut di pukul ombak bisikan syaitan. Banyakkan istighfar moga kita senantiasa mendapat perlindungan dan petunjuk darinya.

p/s: tulisan untuk mengingatkan diri sendiri yang banyak penyakit..huhu

January 3, 2009

Engkau Permata

engkau bagaikan permata
sangat bernilai
sangat berharga
menjadi idaman setiap manusia
anugerah kurniaan ilahi


jangan jadikan dirimu permata pakai buang
nescaya calar sini sana
dicanai tak rata
disapu tak kilat
permata tidak lagi bernilai
harga jatuh menjunam

lindungilah keistimewaanmu
sayangilah dirimu
pastikan permata untuk yang satu
yang ikhlas memakaimu
sampai akhir waktu

"Wanita , engkaulah permata"



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...