October 25, 2012

Iman dan Epal


Fuhhh...akhirnya berpeluang untuk menulis lagi setelah hampir 2 bulan menyepi. Alhamdulillah. 

Terima kasih kepada anonymous yang memberi komen dalam post yg sebelum ini yang memberikan semangat kepada aku untuk menulis satu post sebagai jawapan kepada soalan beliau. 

Kita sentiasa di suruh untuk beriman, kita di ajar akan rukun iman yang enam, kita dengar pula nasyid dari Raihan "iman adalah mutiara", dalam al-quran juga banyak menyebut "Hai orang-orang beriman", malah perihal IMAN adalah satu perkara yang pokok dalam menelusuri kehidupan sebagai seorang manusia yang tahu dirinya diturunkan ke bumi sebagai abid dan juga khalifah.

Maka apakah iman?
Bagaimanakah dikira beriman?
Apakah kaitannya iman dan epal?

Apabila dibuka buku pendidikan agama islam, maka definisi iman itu adalah membenarkan dengan hati, ikrarkan dengan lisan dan mengamalkan dengan anggota. Namun itu adalah satu jawapan skema untuk mendapat 3 markah penuh bagi soalan definisi iman. Ianya satu definisi yang cukup tepat, namun ramai yang masih ragu-ragu apakah itu iman, kerana definisi di atas ini dulunya dipelajari sekadar untuk lulus peperiksaan. 

Antara definisi lain yang kita pernah dengar mengenai iman itu bermaksud 'percaya'. Maka kita pun menerima bulat-bulat tanpa difahamkan dalam-dalam maksudnya.

Mari kita lihat satu analogi mengenai iman. Mungkin ramai yang pernah mendengarnya, aku sekadar mengulangnya kembali. 

Katakan si A adalah seorang pemegang pingat emas olimpik dalam acara memanah. "Accuracy" panahan si A sangatlah tepat. Daripada 10 anak panah yang digunakan kesemuanya tepat mengenai bull's eye (bulatan merah di tengah papan bidikan). Jika diletakkan sebiji epal di atas meja lalu disuruh si A untuk memanah epal maka adakah kita akan percaya panahan si A akan mengenai epal tersebut ?  Melihat daripada statistik ketepatan panahan si A barangkali semua akan PERCAYA bahawa dia akan berjaya.

Untuk aktiviti kedua, diletakkan pula epal itu di atas kepala anda untuk dibidik oleh si A. Dengan saiz epal itu yang hanya 3cm ketinggiannya daripada frontal lobe(kepala) anda, maka adakah pada kali ini anda percaya bahawa si A dapat memanah epal dan bukannya frontal lobe anda?

Jika sekadar percaya sahaja, nescaya anda tidak akan berani untuk berdiri dengan sebiji epal di atas kepala menunggu anak panah meluncur laju ke arah anda. Apa yang membolehkan seseorang itu untuk berdiri bersama epal adalah YAKIN. Ya, bukan sekadar percaya tapi dengan keyakinan. Dia yakin bahawa anak panah si A takkan sesekali tersasar dan penuh yakin bahawa otaknya takkan tersembul keluar bersama-sama anak panah yang laju itu.

Itulah dia IMAN yakni PERCAYA ditambah pula dengan YAKIN. Ramai sahaja manusia yang percaya adanya hari akhirat tapi kehidupannya dunianya seperti tidak wujud hari pembalasan. Ini kerana masih ramai yang tidak yakin mereka akan dibangkitkan. Di mulut mereka mengatakan ya namun di hati masih lagi ragu-ragu. Orang yang yakin pasti akan berusaha bersungguh-sungguh kerana disana nanti hanya ada dua kesudahan syurga dan neraka. 

Sama juga dengan orang yang beriman dengan al-quran. Mereka bukan sekadar percaya ianya kitab suci tetapi yakin akan diturunnya kitab itu untuk menjadi petunjuk kepada seluruh kehidupan. Dan dengan keyakinan itulah mereka berusaha mempelajari dan mendalami maksud, arahan, larangan, gesaan, pelajaran di dalam al quran secara menyeluruh. 

Marilah sama-sama kita menilai semula diri sendiri, adakah kita sekadar percaya akan rukun iman yang enam ataupun kita sememangnya yakin dengan sepenuh hati tanpa boleh diusik walau sedikit pun keyakinan kita itu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...