March 13, 2010

Zaman Gelap


Di tanah arab zaman gelap di klasifikasikan sebagai zaman yang penuh dengan perbuatan yang di luar pikiran manusia zaman ini. Tawaf secara bogel, membunuh anak perempuan, dan zina berleluasa. Beralih pula kepada zaman gelap di Eropah di mana manusia mengalami satu tempoh kemunduran ilmu intelek yang ekstrem. Pemikiran di kawal seratus peratus oleh ahli agama, para saintis dibunuh semata-mata kerana bercanggah pendapat dengan institusi gereja pada zaman itu.

Jika kita mengkaji dengan lebih teliti, zaman gelap yang berlaku di dua tempat yang berbeza ini merupakan satu proses yang dilalui sebelum mencapai satu zaman kegemilangan (peak era). Tanah arab terlepas dari cengkaman kegelapan apabila turunnya wahyu dan datangnya Islam yang jelas membangunkan satu tamadun dunia yang hebat bermula di tanah arab. Eropah pula menerima tempias dari kegemilangan tamadun Islam yang kemudiannya melalui zaman kebangkitan semula(renaissance) yang terus gemilang sehingga ke hari ini.

Habis sudah bercerita mengenai tamadun dan dunia. Apa yang ingin disampaikan sebenarnya adalah kita juga punyai zaman gelap masing-masing. Zaman dirasakan diri ini cukup bodoh, hina dan tidak berguna. Apabila perbuatan salah yang dilakukan dirasakan begitu indah tanpa memikirkan kesannya kepada diri sendiri dan orang lain. Apabila apa yang dilakukan hanyalah untuk memuaskan nafsu sendiri, apabila rasa yang dibuat itu tidak dicatat dan di janjikan perhitungan suatu hari kelak.

Sememangnya itu adalah satu zaman yang tidak ingin kita ingati dan kita harapkan lupus daripada buku sejarah peribadi. Namun percayalah, ianya suatu peralihan kepada zaman yang lebih gemilang. Bukanlah bermaksud semua perlu melalui zaman tersebut namun bagi yang sudah terjerumus ke zaman gelap jangan putus asa dengan diri sendiri. Cahaya hidayah sentiasa akan muncul kepada mereka yang hendak kepadanya. Jadikan zaman gelap merupakan satu 'turning point' yang tidak kita ulangi lagi pada masa depan.

Bersyukurlah kerana kita masih hidup dan keluar dari zaman tersebut. Jangan jadikan ia sebagai satu batu penghalang tapi jadikan ianya sebagai indikator kepada amal kita. Jika rasakan kita bergerak ke arah zaman gelap, cepat-cepatlah berpatah balik. Jangan masuk ke lubang yang sama dua kali.

"Hidayah untuk dicari bukan dinanti"
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...