Percintaan Pemangkin Kegagalan


Sudah lama aku teringin untuk menulis tentang analisis daripada kajian yang dilakukan secara tidak langsung sepanjang aku di peringkat menengah atas dan juga ketika di kolej. Namun disebabkan aral yang sentiasa melintang di depanku maka baru sekarang berpeluang untuk menulis.

Zaman remaja merupakan suatu tempoh masa yang dikatakan cukup indah untuk setiap manusia. Masa untuk bergelak tawa, bercintan-cintun ,bak kata orang "muda sekali saja, kita enjoy sampai lebam la beb". Pada tempoh masa inilah peningkatan hormon dalam tubuh badan manusia meningkat menyebabkan timbulnya rasa minat yang cukup tinggi terhadap pasangan yang berlainan jenis. Tidak hairanlah mereka yang tidak mempunyai pasangan dilabel sebagai "loser". Mungkin akibat dari budaya dan pemikiran serong yang kita amalkan.

Hasil dapatan kajian aku menunjukkan 88.89% daripada mereka yang dikenalpasti sebagai pasangan bahagia berhadapan dengan kegagalan. Kegagalan disini bukanlah bermaksud perhubungan itu gagal namun kegagalan dalam proses mengejar cita-cita(ni baru kejar dunia). Kononnya dengan bercinta, pikiran menjadi lebih tenang, pelajaran makin dapat difokuskan dan kehidupan menjadi lebih "happening" dengan wujudnya pasangan yang boleh di ajak bersembang hingga ke jam 3 pagi. Ada juga yang mencanangkan dengan adanya pasangan, pengajian secara berkumpulan(walhal berdua sahaja) menjadi lebih efektif dan inovatif malah eksklusif dan tidak terkecuali romantis.

Secara realitinya, percintaan yang tidak matang ini mengundang musibah yang besar.Mungkin kerana emosi di peringkat usia remaja masih tidak dapat diimbangkan menyebabkan yang lain turut serta terumbang-ambing. Dan kehadiran pasangan menambahkan lagi ketidakseimbangan ini walaupun kononnya hadir sebagai tempat mengadu dan mendambakan kasih.

Percintaan bukanlah faktor utama kegagalan, ada banyak lagi faktor-faktor besar lain yang berkaitan namun pada pendapat aku ia adalah pemangkin. Mungkin analisa ini ada kekurangannya kerana bilangan respondan yang terhad, namun keputusannya agak jelas. Kita mempunyai hak untuk memilih, menjadi seorang "loser" dalam percintaan atau "loser" dalam mengejar cita-cita.

p/s: mungkin 4 tahun lagi analisis mengenai perkahwinan di peringkat ijazah pula. moga diberikan umur yang panjang.

17 Luahan pikiran  

Prinsipal

Dulu-dulu aku selalu konfius mana satu prinsipal(prinsip) dan mana satu prinsipal(pengetua). Prinsipal(pengetua) adalah individu yang menjadi tulang belakang dalam mana-mana institusi pengajian manakala prinsipal(prinsip) pula adalah tulang belakang dalam pembentukan jati diri seseorang. Ramai yang kurang sedar akan pentingnya prinsipal dalam kehidupan kita. Malah ada yang memegang kepada prinsipal mengikut sahaja orang lain yang jelas akan merosakkan segala-galanya.

Manusia kadang-kadang sukar untuk menerima sesuatu yang baharu dan hati kecil kita sering mendesak untuk mencuba. Tidak hairanlah jika berlaku kejutan budaya tidak kira di mana sekalipun. Samada mereka yang dari kampung ke bandar mahupun yang dari bandar ke bandar yang lebih 'bandar'. Semuanya akan mengalami kejutan ini.

Disinilah perlunya prinsipal yang akan mengawal segala tindakan dan pergerakan kita bagaikan prinsipal di sekolah. Bukanlah bermaksud setiap perkara itu mesti di tinggalkan sepenuhnya namun perlu ada batas-batas yang di gariskan. Prinsipal inilah yang akan memastikan keputusan yang di buat tidak semata-mata berasaskan nafsu dan pengaruh rakan-rakan. Mengelakkan kita dari terjebak dari perkara yang tidak diingini.

Prinsipal pula janganlah diambil dari buku-buku motivasi kerana kita sudah ada buku agung sendiri. Tak perlu lagi merujuk kepada teori-teori rekaan manusia yang mereka sendiri gagal mempraktikkan kesemuanya.

12 Luahan pikiran  

Perigi dan Timba



Kebiasaannya dalam masyarakat kita, timba yang mencari perigi maka jika berlaku kejadian perigi mencari timba ianya menjadi buah mulut malah kutukan orang. Walhal tiada salahpun di sisi agama tetapi dipandang serong dan tidak manis bak kata orang tua-tua.

Satu masalah pula bila ada jenis-jenis timba yang mengidap penyakit kurap yang suka benar menggatalkan diri di telaga-telaga. Telaga pula nampaknya berminat benar dengan kurap-kurap di timba, nanti tak pasal-pasal muncul pula cetong-cetong di tepi telaga.

Jika di zaman dahulu, bukan timba yang cari perigi dan bukan juga perigi yang cari timba. Yang menyatukan kedua-duanya adalah tuan punya perigi dan timba. Kerana mereka lebih tahu timba mana yang sepadan dengan perigi kepunyaan mereka. Mengikut kajian,rupa-rupanya perigi dan timba yang disatukan tuan-tuan mereka ini boleh kekal lama. Mungkin kerana perigi itu betul-betul terjaga, bersih dari lumut dan sampah, jauh sekali bekas kurap timba lain.

Mungkin ada yang menganggap kaedah ini kolot dan ketinggalan zaman kerana dizaman ini semua orang bersosial dan tuan punya langsung tidak memahami jiwa dan perasaan perigi dan timba. Namun percayalah, tuan punya pasti memilih yang paling elok untuk dijadikan pasangan dan teman sepanjang hayat kepada perigi dan timba mereka.

Perigi dan timba buatlah keputusan sendiri. Ini hanyalah saranan dan pesanan bukan nya teguran atau paksaan.




38 Luahan pikiran  

Kemuncak KIJ

Bagaimana perjalanan kursus??
Apa cerita dengan jiwa kita setelah hampir 20 hari berkursus??
Sudah bersediakah dengan bahagian kemuncak kursus???

Malam ini sudah masuk hari ke-20 kursus kita berjalan. Secara tentatifnya kursus berjalan lancar namun dari segi pesertanya pula nampak agak lunyai dan longlai. Walhal sepatutnya 20 hari yang berlalu telah memberi impak kepada jiwa kita dan terus membakar semangat kerana kemuncak kursus adalah pada 10 yang terakhir. 20 hari yang lepas adalah seperti peringkat saringan. Seperti mana di English Premier League, MU takkan menjadi juara keseluruhan sekiranya mereka hanya bermain 28 perlawanan daripada 38 perlawanan keseluruhan. Mereka juga tidak akan menjadi juara jika hanya bersemangat di dua minggu yang pertama EPL. Begitulah yang sepatutnya kita lakukan dalam menjalani KIJ. Namun apa yang di perhatikan, semakin hari semakin merosot kehadiran peserta ketika modul malam. Banyak alasan yang diberi, risau tak sempat merasa "moreh" lah, rindukan "colek buah" lah dan macam-macam lagi.

Sekarang inilah masanya untuk menukar ke gear paling tinggi, memecut dengan jiwa kelajuan. Memanfaatkan masa kursus yang hanya berbaki 10 hari lagi dengan mengikuti segala modul dengan penuh konsentrasi dan mengharapkan ganjaran yang besar yakni untuk mencapai tahap professional(TAQWA).

Di 10 malam terakhir ini juga, KIJ menghadiahkan kita satu modul yang seringkali di abaikan oleh peserta iaitu modul "Tidur sedikit berkursus banyak". Memang inilah modul yang paling berat dalam KIJ itu sendiri. Ramai peserta yang kecundang diulit mimpi indah bertemankan bantal dan tilam yang empuk. Namun begitu ianya bukanlah suatu yang mustahil untuk diikuti, sepertimana yang sering saya katakan, semuanya telah tersedia yang tinggal hanyalah KEINGINAN. Semuanya bergantung kepada diri sendiri. Jangan biarkan NAFSU yang telah hilang regunya SYAITAN(dah masuk ISA) mengalahkan pasukan IMAN dan AKAL kita. Mungkin mereka yang kecundang boleh dikategorikan sebagai golongan BERNAFSU GAJAH.

Berita baik untuk peserta kursus!!!
Cabutan bertuah akan diadakan bila-bila masa dalam 10 malam terakhir!! Hadiahnya bukannya cikai-cikai. Tak payah disebutkan pun sudah tahu kan. Gunakanlah peluang berkursus kali ini kerana tahun depan mungkin nama kita sudah dibuang dari senarai peserta. Mari sama-sama bergegas ke modul "Tidur sedikit berkursus banyak".

"Nak mencapai tahap professional(TAQWA) itu bukannya mudah"

Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu BERTAQWA(2:183)

4 Luahan pikiran  

Nuzul Quran

Tiada gunanya jika hari Nuzul Quran hanya dikenang sebagai cuti umum tahunan sedangkan Al-Quran itu sendiri jarang dijamah, apatah lagi untuk diamalkan dan masakan pula untuk di angkat sebagai asas perlembagaan negara.

Moga kita semua hidup dengan jiwa Al-Quran.Amin.

0 Luahan pikiran  

Tanggal 11 Ramadhan

Setinggi-tinggi syukur dipanjatkan kepada Ilahi kerana masih berpeluang untuk hiduo di hari yang kesebelas di bulan mulia ini. Tarikh 11 Ramadhan 1430 menandakan genaplah setahun(hijri) usia blog Pikiranku yang bermula dari entri pertama ditulis tanggal 11 Ramadhan 1429. Ucapan terima kasih ingin diberikan kepada semua pemikir samada yang baru mahupun yang lama kerana sudi singgah untuk sama-sama berpikir disini. Permohonan maaf juga ingin di pinta kerana ada kalanya, entri-entri yang ditulis secara tidak sengaja atau sengaja telah terkena di atas kepala anda. Semua itu adalah untuk mencetuskan suatu pikiran kepada pemikir-pemikir sekaligus sebagai muhasabah diri penulis sendiri.

Dalam jangka waktu setahun ini, Pikiranku telah melalui beberapa proses transformasi samada pemikir sedar ataupun tidak. Perubahan adalah perlu sejajar dengan usaha untuk memperbaiki peribadi dan kehidupan sedia ada. Diharapkan para pemikir terus-menerus berpikir tidak kira di mana saja blog yang disinggah kerana manusia itu istimewa kerana memiliki PIKIRAN.

p/s: kursus dah berjalan 11 hari...jiwa kita apecer??


2 Luahan pikiran  

MERDEKA

Yang dilaungkan

MERDEKA!!
MERDEKA!!
MERDEKA!!


Yang difahami

MERDEKA??
MERDEKA??
MERDEKA??


Yang disumbangkan

..................
..................
..................


p/s:selamat menyambut hari kemerdekaan negara yang ke-52


1 Luahan pikiran  

Sebat Menyebat

Heboh di muka depan akhbar-akhbar perdana mengenai hukuman sebat yang dijatuhkan kepada Kartika apabila beliau dengan rela hati mahu agar hukuman dilakukan ke atasnya. Hari ini ditangguhkan pula atas sebab menghormati bulan Ramadhan. Walaupun sebatan yang dikenakan bukanlah berdasarkan hukum hudud namun ianya bagaikan satu titik tolak kepada perlaksanaan hukum tersebut di negara Malaysia yang dicanang-canang sebagai sebuah negara Islam.

Aku rasa cukup marah dan jelek dengan satu kenyataan yang di buat oleh sebuah badan legislatif di Utusan

Malah, hak asasi manusia antarabangsa juga mengutuk hukuman sebat dan apa jua hukuman dera. Hukuman ini dianggap sebagai zalim, tidak berperikemanusiaan dan kami menggesa kerajaan untuk menghapuskan hukuman sebat ini
Hukuman sebat terbukti bukanlah suatu hukuman yang boleh dijadikan teladan kepada orang lain.
Berkata-kata seolah-olah dunia ini mereka yang punya, merekalah yang paling berkuasa. Kenyataan ini tidak mungkin akan dijadikan isu besar memandangkan yang mengeluarkan kenyataan bukanlah ahli politik. Kalau dari ahli politik pastilah dijadikan tajuk utama akhbar-akhbar.

Hukuman hudud jelas diturunkan dari langit dan bukanlah hasil dari pemikiran otak manusia yang mempunyai rendah dan terhad. Ianya yang Maha Alim dan Maha Adil yang tahu bagaimana caranya untuk memberi pengajaran dan teladan kepada manusia ciptaanNya. Kenyataan di atas ini secara tersiratnya menghina hukum hudud dan secara tidak langsungnya mahu merendahkan yang menciptanya. Kita sebagai orang beriman harus berasa benci dan marah dengan tindakan mereka yang cuba mencemarkan agama.

Mungkin mereka yang mengeluarkan kenyataan sudah boleh mula mencipta bumi,langit, udara dan air mereka sendiri kerana yang ada sekarang ini semuanya hak milik Yang Esa. Kalau dah cipta tu bolehlah pindah cepat-cepat, menyemak saja di dunia ini.

3 Luahan pikiran