October 9, 2010

Subuh itu kekuatan

Waktu subuh adalah prime time kepada kehidupan seorang insan. Ketika itulah permulaan kehidupan setelah mati sementara. Tidak hairanlah, salah satu dari 5 waktu solat yang wajib ditunaikan ada pada waktu subuh. Menurut satu kajian, di penghujung malam sehingga ke waktu subuh merupakan masa di mana peratusan oksigen di dalam udara berada di peringkat paling tinggi berbanding waktu-waktu lain yang terbukti merangsang daya fikir malah memberi kekuatan. Mungkin kerana kurangnya kenderaan di lantai-lantai jalan raya tapi yang pastinya waktu itu Tuhan penguasa alam turun hingga ke langit dunia.

Pada subuh hari itu ujian kepada kekuatan. Kekuatan untuk bangun awal melepaskan diri dari dakapan erat syaitan yang membisikkan, kekuatan untuk terus bingkas keluar dari litupan selimut tebal dan bantal empuk, malah kekuatan untuk mengenakan air sejuk membeku ke muka, tangan, dahi dan ke kaki lantas terus bergerak ke tempat keramaian, bermunajat bersama-sama. Ini adalah kekuatan yang luar biasa yang boleh dimiliki oleh sesiapa asalkan punya keinginan.

Perkara sama juga dijadikan penanda aras kepada kekuatan ketika perang-perang besar di zaman dahulu. Kekuatan askar bukanlah kepada fizikal semata-mata, yang lebih penting kekuatan seperti di atas. Tidak hairanlah soalan-soalan yang ditujukan oleh Sultan Muhammad Al-Fateh mengikut urutan menggambarkan peringkat kekuatan seseorang. Solat fardhu kemudian rawatib kemudian solat malam. Waktu akhir malam sehingga subuh itu dijadikan indikator terakhir kepada kekuatan para askarnya. Tidak dapat dibayangkan di manakah kedudukan kita jika berada di dalam barisan askar beliau. Mungkin juga di tempat tercorot sekali.

Mungkin kebiasaannya kita tidak terlalu peka terhadap kekuatan yang ada pada waktu subuh, walhal terang dan jelas ianya petunjuk agung ciptaan Tuhan. Untuk pejuang, inilah kekuatan yang sebenar.

Demi waktu fajr (89:1)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...