May 30, 2009

Mesin Basuh

Berbakul-bakul baju dimasukkan ke dalam mesin basuh yang bersaiz besar bagak. Tujuannya jelas, mencuci segala kotoran,kesan minyak, lumpur-lumpur yang terpalit,menanggalkan tompokan darah yang penuh menghiasi segenap ruang. Tiga proses dilalui oleh baju-baju berkenaan yakni basuh,bilas dan dikeringkan. Keluar saja dari mesin basuh, berkedut-kedut keadaan baju, mungkin hasil daripada pusingan ganas mesin basuh. Membasuh dengan penuh semangat, dengan harapan baju yang dibasuh bersih dan suci hendaknya.

Alhamdulillah, baju-baju berjaya dicuci, tiada lagi bau hanyir,kepam,busuk dan bau-bau kurang enak yang sewaktu dengannya. Tiada lagi tompokan kuning, kesan peluh di ketiak. Tiada lagi cacat cela, bagaikan baru keluar dari kilang. Namun, baju pagoda tetap baju pagoda. Baju pagoda takkan jadi baju Nike atau Reebok. Tak kira di basuh berapa banyak pun ia tetap tidak berubah. Ia tetap baju pagoda. Mungkin baju yang telah cuci itu akan memberi sinar yang baru dalam menghadapi hari mendatang. Menyuntik semangat menempuh segala aral di tengah jalan. Walaupun tidaklah setaraf dengan baju Nike, dipandang hina, dicaci dan dicela, perjuangan tetap perlu di teruskan. Memelihara dan mempertahankan kawan-kawan sepagoda yang lain. Kerna baju pagoda jua pengakhirannya.

May 23, 2009

Tadika (TAMAT)

Gegak gempita dewan ujian dengan jeritan gegirangan budak-budak tadika.Walaupun hanya sebilangan yang ada memandangkan budak tadika yang mengambil aliran jual beli sahaja yang tinggal. Yang ambil aliran lain( budak demand-supply dan budak techno) sudah berada di rumah masing-masing. Pengajian selama dua tahun sememangnya perit dengan pelbagai musibah dan juga ujian yang terpaksa dihadapi oleh budak-budak tadika. Namun segalanya sudah berakhir. Yang tinggal, hanyalah kenangan. Tapi aku rasa ada juga budak tadika yang langsung tidak mahu mengenang tadika Kombonto. Itulah lumrahnya, biarkan,biarkan. Yang penting adalah persediaan untuk melangkah satu peringkat yang lebih tinggi. Biarlah betul-betul bersedia. Jangan pula tersungkur di tengah jalan.

Teringin pula aku untuk membuat senarai tentang kejadian-kejadian menarik di tadika.Ini adalah sedikit sebanyak yang boleh aku ingat. Jika ada tambahan, janganlah segan untuk menambah.
  • Pada minggu orientasi budak tadika, senior yang menjadi ketua komandan telah mengajar teknik senaman untuk menghilangkan stress yang tenyata menambahkan lagi stress lagi-lagi masa tu beratur di tengah panas. Aku pun kurang pasti berapa ramai yang ingat cara melakukan senaman tersebut. Harap boleh recall balik.
  • Pada minggu yang sama juga, budak-budak diperkenalkan dengan lagu tema Kombonto iaitu '45 is the maximum' berserta dengan tariannya sekali. Ramai yang sama-sama menyanyi dan menari mengikut rentak seorang cikgu tadika(nama dirahsiakan) Tariannya pula agak menarik(ala-ala Pussycat dolls).
  • Tahun pertama berlalu tanpa konflik yang besar lagi mengancam. Semuanya tenang sahaja.
  • Khabar angin tentang pengharaman ais krim Pak Cik Rashdi jadi berita gempar. Sehingga ada yang demam. Hakikatnya, beliau pulang ke kampung halaman di seberang Sungai Golok atas sebab rindu akan kampungnya.
  • Pihak pengurusan membuat keputusan untuk menghantar budak tadika yang baru mendaftar ke sukaneka antara tadika seluruh negara. Mengamuk habis budak senior, mereka yang sudah lama berlatih sukaneka kemudian tak dapat pula peluang untuk jadi wakil. Mana boleh dilepaskan pada budak hingusan yang baru mendaftar. Mana mereka reti main lari dalam guni. Mana boleh!!
  • Bilik lukisan tangan yang terkenal dengan tahap kepanasan yang agak melampau di ubahsuai. Semua meja dikeluarkan kemudian dijadikan kerusi. Pelik bin ajaib. Mungkin boleh cuba di rumah masing-masing. Memandangkan semua meja telah di 'transformers'kan menjadi kerusi, maka bilik oven tersebut tidak lagi boleh digunakan. Kepada yang pernah di salai dalam bilik tu, jangan sekali-kali lupakan pengalaman berharga yang hanya ada di Kombonto. Budak-budak yang baru masuk tadika takkan dapat merasa lagi.
  • Tadika Kombonto menerima seorang cikgu kanan yang baru. Agak tegas orangnya. Banyak ceritanya bermula dengan kata ganti diri pertama iaitu 'Saya'. Yang paling menarik, budak yang lewat ke tadika di denda menulis karangan pendek. Memandangkan budak suka menulis, ramailah yang datang lewat.
  • Sekeping surat ditampal di papan kenyataan. Surat rasmi pengharaman aiskrim Pak Cik Rashdi. Kali ini bukan lagi khabar angin. Pak Cik Rashdi yang dihubungi juga mendapat surat yang sama. Tamatlah era aiskrim Pakcik Rashdi maka bermulalah penguasaan total empayar nasi lemak.
Aku rasa ada lagi peristiwa penting yang aku tertinggal. Jika berkesempatan, senarai ini akan ditambah dari masa ke semasa.

Kepada budak-budak yang bakal masuk ke sekolah rendah selepas result 6 Julai nanti, gunakan masa yang ada sebaiknya, jangan asyik main guli saja. Main masak-masak lagi bagus, nanti boleh masak kat sana nanti.


May 19, 2009

Intelek Pro-Sampah

Aku sudah hampir ke penghujung di tempat ini. Banyak pengalaman yang telah diperoleh. Banyak lagi cabaran yang ditempuh. Yang paling banyak adalah belajar dari manusia. Itulah benda yang paling aku suka. Dijadikan cerita, tempat aku ini merupakan tempat perkumpulan manusia-manusia intelek. Betul ke tidak aku pun tak pasti, anggap saja semuanya intelek belaka. Memang semua tahu budak intelek ni mempunyai IQ yang lebih tinggi dari orang biasa atau bahasa kampungnya otak "pikap". Itu memang tidak boleh disangkal. Tapi satu benda yang menarik tentang budak intelek kat tempat ni adalah segelintirnya adalah "Pro-Sampah".

Sampah boleh dijumpai di mana-mana. Atas pili bomba, atas para masjid, atas tudung tong sampah, dan bilik tv yang sememangnya jadi tong sampah paling besar. Memang kadang-kadang aku tak boleh nak salahkan mereka. Mungkin lupa, mungkin juga tak ingat nak buang. Tapi bila masalah lupa jadi satu tabiat, itu yang bikin problem. Nak buang sampah dah susah, inikan pula nak buang tabiat buruk(suka buang sampah merata-rata). Aku sangat harap mereka yang selalu lupa buang sampah ni tak penah lupa basuh bila buang air. Takut-takut lupa pula.

Aku bukan berniat untuk nak memburukkan siapa-siapa. Tapi tabiat buruk ini menggambarkan krisis pemikiran yang ada dalam masyarakat kita. Jika golongan intelek pun masih tidak dapat mengikis tabiat ni, inikan pula golongan biasa. Mungkin ini adalah perkara kecil namun ia juga adalah perkara asas dalam pembangunan diri manusia.

p/s: Maaf jika tulisan ini terkena kepada kawan-kawan. Dah memang itu tujuannya.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...