Anak muda kerapkali menjadi muka depan akhbar tidak kiralah di akhbar dalam negara mahupun luar negara kerana anak muda telah menjadi satu kuasa besar dalam menentukan kejayaan suatu gerakan. Di Tunisia, Mesir dan baru-baru ini di Libya jelas menampakkan semangat anak muda dalam memastikan masa depan negara mereka terjamin. Jika di Timur tengah, revolusi berlaku pada tahun 2011, sedar atau tidak kebangkitan anak muda di Asia Tenggara telah 13 tahun berlalu semasa Presiden Suharto dihumban dari kerusi presidensi pada May 1998.
Anak muda negara ini juga tidak terkecuali dari mendapat tempias semangat dan kesungguhan anak muda seluruh dunia. Ramai anak muda mula menjadi aktivis menuntut kebebasan bersuara, meluahkan pendirian mereka dan menunjukkan peranan dalam negara. Apa sahaja isu, lekas-lekas di keluarkan kenyataan media, menunjukkan kepekaan dalam hal-hal yang berlaku dalam negara. Sangatlah teruja hati ini untuk sama-sama di barisan hadapan anak muda suatu hari nanti.
Amatlah digalakkan untuk kita berebut berada di barisan hadapan mempertahankan hak kita lebih-lebih lagi sebagai anak muda Malaysia yang banyak disekat dan di"gari" sana sini. Namun, yang peliknya, bilangan anak muda di barisan hadapan masjid masih lagi boleh dibilang dengan jari. Boleh di cam sekali pandang rambut-rambut hitam dalam lautan rambut putih. Di mana perginya semangat yang dilaung-laung di demonstrasi. Apa gunanya menuntut hak yang disekat dari kerajaan jika hak diri sendiri tidaklah ditunaikan. Anak muda patut mula sedar bahawa kekuatan fizikal dan mental itu hanya sebahagian kecil yang akan menyumbang kepada kejayaan apa yang diperjuangkan, yang paling penting adalah kekuatan ruh. Salahuddin al-Ayyubi dan Muhammad Al-Fateh bukan sekadar di barisan hadapan di dalam peperangan malah menjadi ketua dalam barisan solat. Mungkin inilah yang perlu kita tanamkan dalam diri setiap anak muda. Aktivitas itu mesti namun perhubungan dan pergantungan dengan Yang Maha Kuasa amatlah diperlukan.
No comments:
Post a Comment