July 14, 2011

Kita Anak Muda



Mengikut firasat aku,kebanyakan pemikir-pemikir di "Pikiranku" ini daripada golongan anak muda remaja. Mungkin kerana tulisan aku ini tidak kena cara dan gayanya untuk golongan 'lama' atau mungkin juga kerana promosi blog ini tidak hebat. Ok.Cukup disitu pengenalan.

Anak Muda
Dewasa ini, anak muda sering dikaitkan dengan kebangkitan. Rasanya tak perlu disebut mengenai kata-kata tersohor Bung Karno tentang kekuatan anak muda yang dengan jumlah yang sedikit dapat mengubah dunia keseluruhannya. Benar, kadangkala anak muda itu tindakannya agresif dan tergesa-gesa namun tetap ada hasil yang baik daripada tindakan itu.

Lihat sahaja di seluruh pelusuk dunia, bagaimana anak muda bangun mempertahankan hak mereka, bangkit atas dasar kefahaman dan bukan kefanatikan.

Semangat
Semangat yang tinggi merupakan satu aset yang hanya wujud dalam jiwa pemuda. Bukanlah hendak mengatakan golongan senior tidak mempunyai semangat yang tinggi namun faktor usia sedikit sebanyak mempengaruhi aspek ini.

Namun begitu, semangat yang tinggi ini harus disalurkan kepada saluran yang betul. Ada anak muda yang bersemangat tinggi berkesudahan di jalan raya merempit, ada pula yang menjadi juara pukul memukul. Semua ini disebabkan mereka tidak menjumpai arah mana hendak disalurkan semangat juang mereka yang tinggi itu.

Walhal, semangat mereka yang berkobar-kobar ini sebenarnya amatlah diperlukan dalam proses memperbetulkan institusi masyarakat di Malaysia. Mengembalikan manusia kepada tujuan asal dijadikan. Mengingatkan manusia akan wujudnya destinasi terakhir. Inilah saluran yang benar, saluran yang digunakan oleh anak muda bersemangat kental , Ali bin Abi Talib semasa menggantikan tempat tidur Nabi. Tanpa adanya anak muda seperti Ali, tidak mungkin hijrah berlaku, maka tidak adalah negara Madinah, maka tidak tersebarlah Islam kepada kita.

Moga kita dapat menanam satu sikap ingin berjuang. Sama-sama menyalurkan tenaga kerana KITA ANAK MUDA yang bakal mengubah dunia.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...