December 30, 2010

Bahtera Ini


Kita sedang belayar di satu lautan yang luasnya sehingga naik pening mata memandang. Dipandang ke bawah tak nampak dasarnya. Dijenguk ke atas tak nampak hujungnya. Namun yang pasti nakhoda kapal ini orang yang pengalamannya puluhan tahun menunjuk arah. Tujuannya jelas, arahnya mapan, tidak berganjak walau sedikit pun. Manakan tidak, buku log navigasi bukan sekadar di selit di pinggang malahan lengkap tersemat di dalam hati.

Sudah dinamakan manusia, rambut tak sama hitam, masakan hati sama "pink". Semua punya pikiran sendiri, matlamat sendiri, targetnya, misi dan visinya secara totalnya berbeza. Ada yang tidak sabar, terjun ke dalam lautan tidak berpangkal yang disangkanya lubuk si ikan duyung. Ada pula berbondong-bondong berpindah dari bahtera ke kapal mewah, lebih rela bersenang dari bersusah mengembara dengan nakhoda agung. Ada juga yang tidak endah, mereka ingin sahaja dibiarkan bertenggek di atas gunung, dirasakan lebih selamat untuk tidak sama naik ke dalam bahtera. Itulah dia manusia.

Itu manusia di luar bahtera. Di dalam bahtera juga beraneka ragamnya. Ada yang menumpang tanpa tujuan, bertindak tanpa arahan, melalut tanpa segan. Ada pula kumpulan manusia bertegang leher berebut tanah, 'Ini tanah aku',' Ini tanah atuk aku', bertengkar tanpa sedar mereka di atas bahtera bukan lagi berpijak tanah. Syukur juga, ada yang benar-benar jelas mindanya, cekal hatinya, teguh di dadanya yang dapat memberi sinar kepada bahtera menuju destinasinya. Perlu diingat, ombak yang bakal ditempuh penuh dengan batu-batu rakus merobek bahtera, onak dan duri yang mengoyakkan layar. Usah lagi bertengkar yang pasti tak sudah, usah lagi tercongok tanpa tujuan, mari sama-sama kita memperkuatkan bahtera menuju destinasi yang pasti. Tidak usah dirisaukan saiz bahtera ini. Ianya cukup sempurna, panjangnya meliputi semua zaman, lebarnya mengatur segenap aspek hidup manusia dan dalammnya merangkumi setiap persoalan dunia dan akhirat*

November 28, 2010

Jangan Mati

Hati terasa beku
Merengek benda tidak perlu
Hati kaku mengikut nafsu

Kau harus ingat siapa pegang jiwamu
Kau perlu sedar dimana titik mulamu
Kau perlu tahu ke mana arah jalanmu

Kau penggerak jiwaku
Enjin anggotaku
"Processor" perbuatanku
Pencetus pikiranku

Hoi hati!!!
Jangan kau mati..

October 9, 2010

Subuh itu kekuatan

Waktu subuh adalah prime time kepada kehidupan seorang insan. Ketika itulah permulaan kehidupan setelah mati sementara. Tidak hairanlah, salah satu dari 5 waktu solat yang wajib ditunaikan ada pada waktu subuh. Menurut satu kajian, di penghujung malam sehingga ke waktu subuh merupakan masa di mana peratusan oksigen di dalam udara berada di peringkat paling tinggi berbanding waktu-waktu lain yang terbukti merangsang daya fikir malah memberi kekuatan. Mungkin kerana kurangnya kenderaan di lantai-lantai jalan raya tapi yang pastinya waktu itu Tuhan penguasa alam turun hingga ke langit dunia.

Pada subuh hari itu ujian kepada kekuatan. Kekuatan untuk bangun awal melepaskan diri dari dakapan erat syaitan yang membisikkan, kekuatan untuk terus bingkas keluar dari litupan selimut tebal dan bantal empuk, malah kekuatan untuk mengenakan air sejuk membeku ke muka, tangan, dahi dan ke kaki lantas terus bergerak ke tempat keramaian, bermunajat bersama-sama. Ini adalah kekuatan yang luar biasa yang boleh dimiliki oleh sesiapa asalkan punya keinginan.

Perkara sama juga dijadikan penanda aras kepada kekuatan ketika perang-perang besar di zaman dahulu. Kekuatan askar bukanlah kepada fizikal semata-mata, yang lebih penting kekuatan seperti di atas. Tidak hairanlah soalan-soalan yang ditujukan oleh Sultan Muhammad Al-Fateh mengikut urutan menggambarkan peringkat kekuatan seseorang. Solat fardhu kemudian rawatib kemudian solat malam. Waktu akhir malam sehingga subuh itu dijadikan indikator terakhir kepada kekuatan para askarnya. Tidak dapat dibayangkan di manakah kedudukan kita jika berada di dalam barisan askar beliau. Mungkin juga di tempat tercorot sekali.

Mungkin kebiasaannya kita tidak terlalu peka terhadap kekuatan yang ada pada waktu subuh, walhal terang dan jelas ianya petunjuk agung ciptaan Tuhan. Untuk pejuang, inilah kekuatan yang sebenar.

Demi waktu fajr (89:1)

September 18, 2010

Kelajuan itu lebih penting dari pecutan

Maghrib tadi masuk hari kesepuluh bulan Syawal. Cukup sekejap rasanya, mungkin kerana pagi-pagi lagi sudah berkerumun di kedai-kedai kopi, tengaharinya pula berpusu-pusu ke kedai nasi padang dan sebelah malam bergerombolan sambil bertemankan asap shisha di kedai-kedai arab. Ramadan yang lalu seperti tidak pernah berlalu. Perginya ia seperti tidak memberi apa-apa kesan mental apatah lagi kepada jiwa.

Jika dahulu semua dalam sesi memecut, berlumba-lumba melakukan ibadat. Amalan itu amalan ini. Semuanya dilipat gandakan dan di perbanyakkan Rasa suatu keadaan yang cukup menenangkan hati.

Namun, dengar sahaja takbir raya bagaikan sudah tamat perlumbaan. Semua orang berteriak bertempik, riuh rendah habis sekampung dengan bunyi mercun. Gempak gempita langit gelita disinari lampu pelita. Walhal, Ramadan merupakan fasa pecutan. Jika digambarkan dalam perlumbaan pecut 100m, bulan Ramadan itu merupakan 10m yang pertama. Memanglah pecutan perlu dibuat dengan penuh sungguh-sungguh. Namun jangan lupa baki 90m lagi untuk ke garisan penamat. Ini memerlukan kelajuan malar(constant velocity) selepas melakukan pecutan pada awalnya untuk memastikan kemenangan. Usain bolt menang kejohanan dunia kerana dapat mengekalkan kelajuan bukan setakat pecutan di garisan mula.

Jangan cepat melatah, 11 bulan penuh dugaan menanti di hadapan. Kerana kelajuan itu lebih penting dari pecutan. Moga menjadi orang bertakwa.

August 24, 2010

Bila zaman kembali jahiliyah

Jika selalunya zaman jahiliyah dikaitkan dengan zaman sebelum turunnya wahyu kepada Nabi Muhammad(s.a.w.). Itulah definisi yang biasa kita baca di dalam buku teks di sekolah. Ramai yang berasa selesa memandangkan kita bukan lagi berada di zaman jahiliyah jika berpandukan definisi buku teks. Hakikatnya zaman yang kita lalui sekarang ini jauh lebih punah dan rosak berbanding zaman jahiliyah dahulu kala.

Jika dahulunya manusia itu berbogel semasa tawaf, sekarang ini lebih ramai yang 'berbogel' di papan-papan billboard di sekitar ibu kota. Tidak perlu di sebutkan lagi yang 'berbogel' di pusat-pusat membeli belah apatah lagi di tempat-tempat hiburan. Adakah boleh kita katakan kita bukan di zaman jahiliyah?

Jika dahulunya masyarakat hidup aman dengan amalan mencuri,merompak dan riba, sekarang ini korupsi di mana-mana sahaja, curi pasir di sana sini, MLM yang bermacam-macam jenis dan 'interest' yang menjadi wajib di bank-bank komersial. Adakah boleh kita katakan kita bukan di zaman jahiliyah?

Jika dahulunya bayi-bayi perempuan di tanam hidup-hidup kerana tidak sanggup menanggung malu, sekarang ini jauh lebih teruk. Memandangkan zaman makin moden, bayi-bayi tidak lagi di kambus di dalam tanah. Mereka dibakar, dibuang ke dalam tong sampah, di campak dari tingkat atas flat, di buang ke dalam sungai, di buang ke dalam lubang jamban seperti najis malah ada yang di campakkan terus ke dalam lubang najis. Yang lebih menyedihkan, sekarang ini bayi-bayi dibuang tanpa mengira jantina. Tidak kira lelaki mahupun perempuan semuanya dibuang, kononnya nak menjaga maruah. Semasa berzina tiada pula rasa nak menjaga maruah. Adakah boleh kita katakan kita bukan di zaman jahiliyah?

Inilah keadaannya berada di 'negara Islam' di zaman jahiliyah. Tidak perlu menyalahkan sesiapa, tidak perlu mengarahkan telunjuk kerana empat jari lagi akan menunjuk kepada kita. Semuanya bermula dengan diri kita sendiri.

Marilah kita sama-sama kembali kepada Islam yang sebenar, bukan sekadar berbangga berada di 'negara Islam' malah ahli OIC namun membentuk dan membina individu Muslim yang mantap. Bukan sekadar diri sendiri sahaja, pancarkan kepada ahli keluarga dan juga sahabat-sahabat. Moga-moga suatu hari nanti kita dapat keluar dari zaman jahiliyah yang paling teruk sepanjang zaman yakni JAHILIYAH MODEN.

July 5, 2010

Dilarang Mengurat



June 26, 2010

Budak dan Taik



Alkisahnya di sebuah kampung, ada seorang budak yang mempunyai sebuah reban ayam yang boleh tahan besarnya. Kerja budak tu hari-hari adalah kutip telur ayam. Hari-hari dia kutip telur ayam. Telur ayam dikutip hari-hari. 

Budak ni ada banyak perangai busuk, salah satunya suka sangat berkaki ayam semasa mengutip telur ayam yang hari-hari dia kutip. Mestilah semua maklum, ayam ini adalah binatang bernyawa,hidup dan  perlu mengisi perut dengan makanan. Yang dimakan mestilah diproses. Yang diproses mestilah dikumbah menjadi taik. Arakian berselerakanlah taik-taik ayam di reban ayam milik budak itu.

Secara teori kalkulusnya, secara automatiklah taik-taik akan bertempekan di kaki budak yang berkaki ayam. Namun, budak itu seperti tidak mengendahkan tempekan taik-taik ayam pada kaki ayamnya. Mungkin kesejukan taik ayam memberikan satu kepuasan,nikmat kepada budak yang tidak dapat dirasai orang kebiasaan. Hari demi hari, taik-taik di kaki masih juga tidak di basuh, iyalah, jarak hidung dan kaki itu kan jauh. Tidak sampai pula bau taik ke hidung budak. Dibiarkan saja taik-taik mengeras di kakinya hinggakan boleh melawan kasut tumit tinggi Kak Timah,minah ranggi kampung sebelah. 

Dalam tak sedar, kasut taik ayam ini bukanlah seperti kasut 'Crocs' yang dibeli di uptown Wakaf Che Yeh. Rupanya di sebalik tapak kasut taik ayam milik budak itu, kakinya semakin hari makin rosak dimakan bakteria,virus dan kuman dari taik ayam. Akhirnya, kaki sudah tidak boleh diselamatkan, terpaksalah Pak Kamis menuangkan cuka getah ke atas kaki budak itu. Hancur luluh lah kasut taik ayam bersama-sama kaki budak yang kerjanya hari-hari mengutip telur ayam namun terlupa bahawa ada taik ayam di sekelilingnya yang membawa mudarat.

Hidup kita ini tak ubah seperti hidup budak itu, dalam kita mengejar perjuangan dan mencari keredhaan, kita terlupa akan dosa-dosa kecil yang ada di sekeliling. Jangan biarkan ianya terkumpul dan menghitamkan hati yang kita takkan nampak,kita takkan bau, kita takkan rasa. Jangan sampai hati dibakar baru hendak berubat.

Mahu ubatnya??

Marilah sama-sama kita pikirkan!!!

June 23, 2010

Pahit Manis

Ubat yang ditelan itu PAHIT
kerana
Sihat tubuh badan itu MANIS

Segala kesukaran itu PAHIT
kerana
Segala kemudahan itu MANIS*

Mujahadah itu PAHIT
kerana
Syurga itu MANIS**

*94:5-6
**Visitor 8040 from Pikiranku YM Pingbox

March 13, 2010

Zaman Gelap


Di tanah arab zaman gelap di klasifikasikan sebagai zaman yang penuh dengan perbuatan yang di luar pikiran manusia zaman ini. Tawaf secara bogel, membunuh anak perempuan, dan zina berleluasa. Beralih pula kepada zaman gelap di Eropah di mana manusia mengalami satu tempoh kemunduran ilmu intelek yang ekstrem. Pemikiran di kawal seratus peratus oleh ahli agama, para saintis dibunuh semata-mata kerana bercanggah pendapat dengan institusi gereja pada zaman itu.

Jika kita mengkaji dengan lebih teliti, zaman gelap yang berlaku di dua tempat yang berbeza ini merupakan satu proses yang dilalui sebelum mencapai satu zaman kegemilangan (peak era). Tanah arab terlepas dari cengkaman kegelapan apabila turunnya wahyu dan datangnya Islam yang jelas membangunkan satu tamadun dunia yang hebat bermula di tanah arab. Eropah pula menerima tempias dari kegemilangan tamadun Islam yang kemudiannya melalui zaman kebangkitan semula(renaissance) yang terus gemilang sehingga ke hari ini.

Habis sudah bercerita mengenai tamadun dan dunia. Apa yang ingin disampaikan sebenarnya adalah kita juga punyai zaman gelap masing-masing. Zaman dirasakan diri ini cukup bodoh, hina dan tidak berguna. Apabila perbuatan salah yang dilakukan dirasakan begitu indah tanpa memikirkan kesannya kepada diri sendiri dan orang lain. Apabila apa yang dilakukan hanyalah untuk memuaskan nafsu sendiri, apabila rasa yang dibuat itu tidak dicatat dan di janjikan perhitungan suatu hari kelak.

Sememangnya itu adalah satu zaman yang tidak ingin kita ingati dan kita harapkan lupus daripada buku sejarah peribadi. Namun percayalah, ianya suatu peralihan kepada zaman yang lebih gemilang. Bukanlah bermaksud semua perlu melalui zaman tersebut namun bagi yang sudah terjerumus ke zaman gelap jangan putus asa dengan diri sendiri. Cahaya hidayah sentiasa akan muncul kepada mereka yang hendak kepadanya. Jadikan zaman gelap merupakan satu 'turning point' yang tidak kita ulangi lagi pada masa depan.

Bersyukurlah kerana kita masih hidup dan keluar dari zaman tersebut. Jangan jadikan ia sebagai satu batu penghalang tapi jadikan ianya sebagai indikator kepada amal kita. Jika rasakan kita bergerak ke arah zaman gelap, cepat-cepatlah berpatah balik. Jangan masuk ke lubang yang sama dua kali.

"Hidayah untuk dicari bukan dinanti"

February 21, 2010

Sepi mula berlagu

Sudah lebih dari 2 bulan tidak menulis, terasa kebas jari-jemari menaip papan kekunci laptop ini.Bukannya tidak mahu menulis, bukan juga tidak berkeinginan untuk berkongsi pikiran dengan pemikir-pemikir lain namun.....entahlah, soalan itu masih kekal tidak terjawab. Lebih baik di abaikan dari dipikirkan.

Post ini juga aku tujukan kepada rakan seperjuanganku, Anoz yang baru mengenal dunia blog namun bermula dengan penuh semangat dengan entri-entri yang cukup memberi kesan pada pandanganku.Bangga aku ada kawan boleh update blog hari-hari.

Kita merasa selesa dengan apa yang kita miliki sekarang ini. Bermacam-macam nikmat dan juga kejayaan kita capai bertali arus. Tapi jangan kita LUPA, diri kita siapa. Jangan kita LUPA diri kita dari apa. Jangan kita LUPA kejadian kita untuk apa. Jangan kita LUPA diri kita untuk siapa dan jangan LUPA tanya diri kita sendiri.

Nikmat dunia sebenarnya boleh membawa manusia jauh dari pemberi nikmat. Pabila terasa diri sendiri yang berusaha keras membina kejayaan dari kertas yang kosong. Walhal kejayaan itu adalah suatu ujian, sejauh mana kita membuat penilaian. Pengakhirannya bertitik tolak antara syukur atau kufur. Yang penting, jangan sekali-kali lupa agar kita tidak dilupakan. Jangan juga biarkan nikmat itu menjadi nikmah(bencana).

Ingatlah kamu kepadaKu, nescaya Aku ingat pula kepadamu..(2:152)

Sudah tidak berdaya untuk mengarang lagi, pikiran sudah setajam dulu. Terasa rindu pula belajar subjek Bahasa Melayu yang dahulunya seringkali diremehkan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...