Gambar di Puncak Bukit Sinai, Semenanjung Sinai, Mesir |
Kita (yang sebaya dengan aku) dibesarkan dengan ketahyulan. Masakan tidak, dari kecil lagi disumbat dengan buku-buku mastika, pelik tapi benar dan sebagainya. Ianya bagaikan satu fenomena di waktu kecil dulu. Mungkin ia bukanlah salah kita tapi disebabkan keadaan masyarakat Melayu khususnya yang sebati dengan ketahyulan. Tajuk-tajuk yang femes yang biasa kita dengar adalah seperti:
Karpet terbang di Balik Pulau.
Pemuda dirasuk syaitan black metal
Pohon betik berupa wajah manusia
Kerbau putih jelmaan pawang
Apa yang ditulis diatas mungkin benar mungkin juga rekaan semata-mata namun itulah apa yang kita baca dahulu. p/s: aku pon baca ok.
Apabila kita meningkat dewasa, pandangan kita sudah mula luas. Melihat persekitaran, menilai keadaan dan mula mencari dalil untuk sesuatu yang berlaku. Namun begitu, sedikit terselit di dalam diri kita ini sikap sukakan benda tahyul.
Contoh yang paling tipikal adalah apabila kita merasa kagum jika melihat perkataan Allah atau Muhammad pada makhluk ciptaanNya contohnya pada awan, pada badan lembu, pada buah timun cina, pada daun, bila ada pokok yang sedang rukuk, dan sebagainya. Aku bukanlah mengatakan benda itu adalah tahyul seperti tajuk cerita dalam mastika di atas dan aku bukanlah nak menyekat kita dari merasa kagum tapi mahu mengajak kita semua untuk meluaskan lagi pandangan kita. Bukakan mata seluas-luasnya maka anda akan rasa lebih kagum.
Allah telah mengajar kita di dalam kitabnya bagaimana cara untuk melihat dunia. Perkataan "alam taro annallah" (أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللّهَ )di ulang beberapa kali di dalam al-Quran yang bermaksud "tidakkah kamu melihat apa yang Allah.."(jadikan, turunkan, berikan).
Di dalam ayat-ayat tersebut, kita disuruh untuk melihat langit, bintang, gunung, bulan, melihat bagaimana awan dikumpulkan, diturunkan air melalui awan, dan dihidupkan bumi yang mati. Disuruh juga kita melihat langit yang kita junjung dan bumi yang pastinya kita pijak ini. Lihat juga bagaimana burung terbang di langit dan bagaimana unta dijadikan.
Itulah cara pandang yang sebenar. Janganlah menunggu pokok durian mengeluarkan buah epal baru nak merasa kagum. Lihatlah pokok, lihatlah jari-jari anda yang menekan-nekan butang tetikus, lihatlah sekeliling dan jangan berhenti melihat selagi nikmat mata itu tidak disekat.
p/s: ayat-ayat berkaitan 14:19, 22:63, 22:65, 39:21. kalau ada yang terlepas pandang, bole la pemikir tolong tambah ye.
No comments:
Post a Comment