January 29, 2012

Anak Muda: Diubah, Berubah dan Mengubah



Membentuk cara fikir anak muda merupakan satu proses yang cukup rumit dan kompleks memandangkan pemikiran mereka semua sudah matang, pendirian mereka sudah tetap. Namun begitu jika cara fikir ini dapat dibentuk dengan adunan yang betul maka hasilnya adalah satu produk yang cukup hebat, penuh potensi untuk mengubah dunia.

Ada tiga proses yang perlu ada dalam membina jiwa anak muda ; Diubah, Berubah dan Mengubah. Proses pertama merupakan 'step' yang paling sukar kerana setiap manusia itu ada egonya. Bukan senang-senang saja terpedaya dengan 'suapan' nasi kandar ataupun 'lamb rib'. Namun itu bukan halangan, ada caranya untuk menundukkan ego, ada caranya untuk memberi suapan dengan penuh kasih sayang. Ya, ego pasti kalah dengan ikatan kasih sayang, ikatan ukhuwah. Apabila perasaan ego berjaya dibenam dan dijunam, anak muda sudah dikira bersedia untuk diubah.

Diubah tidak semestinya berubah namun itulah targetnya, diubah untuk berubah. Maaf ayat agak memeningkan. Proses untuk berubah akan memakan masa yang lebih lama daripada yang pertama. Anak muda perlu diberikan masa. Janganlah dipaksa-paksa atau diletakkan satu jangka masa yang tetap untuk setiap orang. Ada yang berubah serta merta ada pula yang berbulan-bulan malah bertahun namun target utama tercapai yakni berubah. Perubahan yang perlahan tapi konsisten lebih bagus dari perubahan yang laju tapi terkandas. Melalui proses berubah ini, anak muda perlu berani berubah dan sentiasa diberikan kekuatan, diberikan sokongan psikologi. Bukan mudah untuk berubah. Kadang-kadang diperli bagai nak rak. Di gelar ustaz/ustazah muda. Dilempar kata-kata " Baru bertobat ke Mat?", "Aikk..nak masuk rancangan ustazah pilihan ke??". Ya, mereka perlukan sokongan berterusan dan sila kenalpasti orang-orang yang memerli kerana mereka mungkin perli atas sebab tidak puas hati kenapa mereka tidak boleh berubah, maka pemerli ini juga perlu melalui proses "diubah". Sekali lagi ayat pening. Maaf. 3 perkara penting dalam proses ini adalah 'support system', keberanian dan kebergantungan kepada pemilik semua hati.

Mungkin ramai yang pikir proses kedua merupakan paling lama. Anda silap kerana proses mengubah mempunyai jangka masa infiniti. Proses mengubah adalah paling penting kerana tanpa proses ini maka 'cycle' akan terputus maka tiada siapa yang akan diubah dan berubah lagi. Mengubah bukanlah untuk untuk menjadikan seseorang seperti kita tapi menjadikan seseorang lebih hebat dari kita. Dan untuk mengubah itu tidak perlu menunggu diri sendiri sempurna dahulu kerana manusia tidak akan sempurna. Usah rasa takut jika ilmu tidak cukup kerana ilmu sememangnya tidak akan cukup sampai bila-bila. Ubahlah manusia dengan menundukkan ego, memberi sokongan dan yang paling penting penuh dengan kasih sayang.

Anak muda perlu sentiasa ingat : DIUBAH, BERUBAH DAN MENGUBAH

2 comments:

:) said...

sebenarnya tidaklah sesusah mana untuk melaksanakan "diubah,berubah dan mengubah" itu kerana yang susah ialah nak beristiqamah dengan segala perubahan itu. :)

cantik di hati said...

emm..betui2. saya sokong :) kat atas. istiqamah tu sedikit susah tapi setuju jugak dengan penulis. apa pun kena berubah dan beristiqamah dengan perubahan itu

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...