January 29, 2012

Anak Muda: Diubah, Berubah dan Mengubah



Membentuk cara fikir anak muda merupakan satu proses yang cukup rumit dan kompleks memandangkan pemikiran mereka semua sudah matang, pendirian mereka sudah tetap. Namun begitu jika cara fikir ini dapat dibentuk dengan adunan yang betul maka hasilnya adalah satu produk yang cukup hebat, penuh potensi untuk mengubah dunia.

Ada tiga proses yang perlu ada dalam membina jiwa anak muda ; Diubah, Berubah dan Mengubah. Proses pertama merupakan 'step' yang paling sukar kerana setiap manusia itu ada egonya. Bukan senang-senang saja terpedaya dengan 'suapan' nasi kandar ataupun 'lamb rib'. Namun itu bukan halangan, ada caranya untuk menundukkan ego, ada caranya untuk memberi suapan dengan penuh kasih sayang. Ya, ego pasti kalah dengan ikatan kasih sayang, ikatan ukhuwah. Apabila perasaan ego berjaya dibenam dan dijunam, anak muda sudah dikira bersedia untuk diubah.

Diubah tidak semestinya berubah namun itulah targetnya, diubah untuk berubah. Maaf ayat agak memeningkan. Proses untuk berubah akan memakan masa yang lebih lama daripada yang pertama. Anak muda perlu diberikan masa. Janganlah dipaksa-paksa atau diletakkan satu jangka masa yang tetap untuk setiap orang. Ada yang berubah serta merta ada pula yang berbulan-bulan malah bertahun namun target utama tercapai yakni berubah. Perubahan yang perlahan tapi konsisten lebih bagus dari perubahan yang laju tapi terkandas. Melalui proses berubah ini, anak muda perlu berani berubah dan sentiasa diberikan kekuatan, diberikan sokongan psikologi. Bukan mudah untuk berubah. Kadang-kadang diperli bagai nak rak. Di gelar ustaz/ustazah muda. Dilempar kata-kata " Baru bertobat ke Mat?", "Aikk..nak masuk rancangan ustazah pilihan ke??". Ya, mereka perlukan sokongan berterusan dan sila kenalpasti orang-orang yang memerli kerana mereka mungkin perli atas sebab tidak puas hati kenapa mereka tidak boleh berubah, maka pemerli ini juga perlu melalui proses "diubah". Sekali lagi ayat pening. Maaf. 3 perkara penting dalam proses ini adalah 'support system', keberanian dan kebergantungan kepada pemilik semua hati.

Mungkin ramai yang pikir proses kedua merupakan paling lama. Anda silap kerana proses mengubah mempunyai jangka masa infiniti. Proses mengubah adalah paling penting kerana tanpa proses ini maka 'cycle' akan terputus maka tiada siapa yang akan diubah dan berubah lagi. Mengubah bukanlah untuk untuk menjadikan seseorang seperti kita tapi menjadikan seseorang lebih hebat dari kita. Dan untuk mengubah itu tidak perlu menunggu diri sendiri sempurna dahulu kerana manusia tidak akan sempurna. Usah rasa takut jika ilmu tidak cukup kerana ilmu sememangnya tidak akan cukup sampai bila-bila. Ubahlah manusia dengan menundukkan ego, memberi sokongan dan yang paling penting penuh dengan kasih sayang.

Anak muda perlu sentiasa ingat : DIUBAH, BERUBAH DAN MENGUBAH

January 19, 2012

We are all One


Aku cukup bertuah untuk berpeluang berada di bumi asing di zaman ini. Bukanlah bertuahnya kerana boleh bermain salji atau bercakap slang British, akan tetapi rasa beruntung itu adalah apabila dapat melihat sendiri putik-putik sinar yang bakal mengangkat Islam kembali ke tempat asalnya. Lihat sahaja gambar-gambar dan video yang dimuat naik ke Facebook, muda mudi ceria bersemangat berkumpul bersama-sama. Ya, tanggapan anda kurang tepat, mereka bukan ceria kerana berpesta berseronok berdansa, namun keceriaan dan kegembiraan itu terbit dari hati yang mekar dengan ukhuwah dan penuh terisi dengan makanan ruh.

Rasa beruntung juga, proses mengumpulkan manusia ini tidak dilakukan satu pasukan sahaja. Dalam selang masa 2 minggu pada cuti musim sejuk yang lepas, beberapa program telah dianjurkan dengan penuh meriah, penuh kejayaan, penuh isinya. Rakan sekalian, ini adalah satu rahmat. Aku yakin dan pasti setiap perkumpulan yang dijalankan tidak lain dan tidak bukan semata-mata untuk mendekatkan diri peserta dan penganjur kepada Rabbul Jalil. Perkumpulan yang dijalankan tidak syak lagi bertujuan memperbaik dan membentuk manusia-manusia yang tahu tujuan berpijaknya kaki di bumi, ke mana kaki menuju.

Moga perjuangan kita tidak berhenti setakat di sini sahaja. Moga himmah kita tidak tertinggal di bumi asing ini kerana di tanah tumpah darah kita masih ramai menunggu untuk di bentuk dan di perbaik. Mari sama-sama bekerja ke arah kebaikan kerana kita semua 1ghayah(tujuan).

Mereka yang aku kagumi



Kadang-kadang melihat kepada diri sendiri rasa cukup sedih dan hina. Sudah bergelar Islam dari lahir lagi. Kecil-kecil lagi sudah diazankan di telinga, masa kanak-kanak sudah bertatih rukuk dan sujud. Masuk sekolah rendah dah mula hafal ayat kursi. Namun bila dewasa, penghayatan masih lagi kurang. Komitmen masih lagi pudar. Kemahuan masih lagi di tahap biasa. Mungkinkah kerana merasa sudah berada di zon aman. Yakin suatu masa nanti mendapat ganjaran. Sedangkan amalan tidak bertambah, jiwa tidak berubah dan penyakit hati makin parah.

Aku kagum melihat bagaimana mereka yang baru memeluk Islam di tempatku. Komitmen mereka cukup tinggi, tindak tanduk mereka amatlah terpuji, surau sudah menjadi kawasan ruji. Terasa sentiasa ingin bersama mereka, orang-orang yang rekodnya bersih sebersih bayi. Teringin menumpang rasa hidayah yang pernah sampai kepada mereka. Salah seorang dari mereka sudah boleh menghafal surah al-Waqiah walaupun baru masuk tahun kedua keIslaman. DANGG!! Kena kat dahi. Aku yang sudah berpuluh tahun pun masih lagi merangkak-rangkak menghafal surah-surah pendek. Sedih. T.T

Adakah kerana belum mendapat hidayah ataupun masih belum tiba seru. Ataupun sebenarnya masih tak nampak di mana letaknya agama sebagai cara hidup. Ataupun diri sendiri tidak pernah berdoa agar diberikan hidayah. Mungkin juga hanya berdoa untuk diri sendiri sahaja dan lupakan sahabat-sahabat yang lain.

Sampai bilakah harus begini. Adakah mahu menunggu awan berbentuk naga baru hendak mengagumi ? Adakah mahu tunggu sejadah berdiri baru bergegas ke surau? Adakah hendak melihat matahari sudah lesap baru hendak bertaubat?

Bermulalah dengan mengagumi orang lain kemudian berusaha agar dapat menjadi yang dikagumi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...