August 21, 2011

Mengembalikan Ruh Ramadan



Berduyun-duyun umat manusia berkumpul di depan peti gambar bergerak, menanti pengumuman jam 8 malam. Sejak zaman berzaman, semua yakin dan pasti, pakcik yang sama akan keluar duduk di atas kerusi yang sama malah kaler kusyen pun tidak diubah sejak dahulu kala untuk membuat satu pengisytiharan dinanti sekalian lama.
Saya, pemegang mohor besar raja-raja mengisytiharkan, tarikh puasa jatuh pada hari esok.
Maka melompat-lompatlah anak kecil menantikan duit upah puasa untuk dibeli pula bunga api pelbagai rupa. Melompat-lompat juga peniaga-peniaga, bulan penuh lubuk emas telah tiba. Warga ibu mula resah, kaler apekah kusyen tahun ini, biskut apakah tahun ini, berapa ratus lemang hendak dibakar tahun ini. Kaum bapa sibuk mengira-ngira, dipecahkan terus tabung buluh, di selongkar juga tilam dan bantal. Hotel-hotel pula sibuk mengumpulkan menu juadah berbuka puasa, berlumba-lumba siapa yang paling banyak menu dialah juara. Artis juga tidak terlepas dari tempias Ramadan, shooting raya sana sini, apakan daya, hendak ditayangkan pada hari raya pertama, puasa tidak sampai sekerat sudah bersalam-salaman di depan kamera.

Ok. Masuk part serius, sebenarnya dah penat pikir ayat pelik-pelik.hoho

Yang dikisahkan dalam perenggan memeningkan diatas itu adalah situasi sebenar masyarakat kita. Jika anda katakan benda ini tidak berlaku di tempat anda, saya beranggapan anda berada di Zimbabwe.

Bagi umat Malaysia, bila disebut sahaja Ramadan apa yang keluar di dalam kepala kita adalah berpuasa disiang hari, berbazar ramadan di petang hari, berterawih separuh penuh di malam hari, bermakan-makan "collek"(rojak) di tengah malam hari sambil dialuni bunyi "merdu"(bising dan bingit) mercun bola dan seangkatannya. Itu adalah normal kerana itulah yang kita lalui setiap tahun. Ramadan tak ubah seperti satu bulan yang tiada lebihnya kerana hendak atau tidak dalam setahun pasti adanya bulan Ramadan.

Satu perkara yang kita tersalah anggap selama ini adalah bulan Ramadan itu adalah bulan puasa. Bila tiba sahaja Ramadan, tidak kira kecil besar tua muda akan mula berpuasa. Pemahaman inilah yang menyebabkan wujudnya manusia yang berpuasa tapi tidak menjaga solatnya, manusia yang berpuasa tapi tidak dapat menjaga auratnya dengan sempurna, manusia yang puasanya hanya mendapat lapar dan dahaga, manusia yang berpuasa perutnya namun anggota lainnya aktif benda tidak sepatutnya. Ini semua adalah akibatnya puasa itu dilakukan kerana faktor persekitaran dan bukannya faktor dalaman(IMAN).

Bulan Ramadan ini menjadi satu bulan penuh keberkatan(yang kita katakan mubarak) adalah kerana turunnya Al-Quran. Turunnya petunjuk yang mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya terang benderang. Al-quran yang mengajar manusia erti iman. Jika disoroti sirah, puasa diwajibkan 15 tahun selepas wahyu pertama diturunkah(tahun 2 Hijrah). Satu perkara yang tidak pernah kita selidiki. Sebelum turunnya arahan diwajibkan berpuasa, bulan Ramadan sememangnya merupakan satu bulan penuh barakah malahan surah Al-Qadr yang bercerita mengenai malam lailatul qadar juga diterima ketika di Mekah.

Tahukah kita, perang pertama dalam sejarah Islam juga pada tahun 2 Hijrah pada bulan yang penuh barakah yang juga tahun pertama diwajibkan berpuasa. Jelas dapat dilihat bagaimana berkesannya puasa para sahabat yang membolehkan 313 askar bersenjatakan pelepah tamar melawan 1000 askar lengkap berbaju besi. Ini semua adalah hasil 15 tahun keimanan ditanam melalui Al-Quran yang meresap jauh ke dalam sanubari para pejuang.

Sedarkan kita, Salahuddin Al-Ayyubi dapat membebaskan kota Palestin pada bulan Ramadan 584 H?? Tahukah juga kita, tentera tanpa kalah Israel dikalahkan buat kali pertama oleh tentera Mesir yang terdiri dari para ikhwanul muslimin pada tahun 1973 Masihi pada bulan penuh barakah ini?? Mungkin anak muda sekarang tertanya-tanya, kenapakah mereka ini memilih untuk berperang di bulan puasa sedangkan perut kosong, badan lemah, mata mengantuk. Walhal kita(anak muda) tidak jelas bahawa yang membawa kepada kemenangan itu adalah keimanan(keyakinan) dan dengan berpuasa, nafsu dapat dikekang, doa termakbul, pikiran kosong dari perkara-perkara yang sia-sia. Itulah kekuatan sebenar. Itulah yang dikatakan ruh ramadan.

Ingin saya mengajak sahabat handai rakan rapat yang tua yang muda meneliti dan memahami Al-Quran bagi mendapatkan kembali ruh ramadan yang telah sekian lama kita terlepas pandang. Moga ramadan tahun ini yang tinggal beberapa hari lagi dimanfaatkan sepenuhnya dan ingatlah manusia tanpa ruh adalah manusia yang mati maka pastikan kita berpuasa dengan RUH RAMADAN.

1 comment:

Aku Dan Sesuatu said...

Sesungguhnya apabila mati seseorang anak Adam itu, terputus ia semua hal kecuali 3 perkara iaitu Doa anak2 yang soleh, ilmu yang bermanfaat dan sedekah amal jariah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...