August 19, 2011

Anak Muda dan Al-Quran



Anak muda seringkali dikaitkan dengan masalah-masalah yang timbul dalam masyarakat malah ianya adalah satu kenyataan yang tidak dapat disangkal. Pelbagai cara sudah dilakukan untuk mengatasi masalah ini samada penubuhan pusat pemulihan, sekolah remaja mengandung luar nikah, kursus motivasi dan sebagainya namun hasilnya tidaklah signifikan. Dari pandangan penulis, semua masalah ini tidak akan dapat diselesaikan selagi masalah iman tidak disetelkan.

Jika kita merintis kembali masa kecil dahulu, berkat usaha ibu ayah kita yang menghantar kita ke kelas qiraati membolehkan kita menguasai bacaan al-quran sejak dari usia kecil lagi. Namun begitu, jika diteliti dan diingat kembali, kita jarang sekali didedahkan untuk meneliti maksud dan makna al-quran yang dibaca. Malah jika dilihat kepada generasi-generasi lama, amatlah sedikit yang membaca al-quran dengan terjemahan kecuali jika adanya kelas tafsir yang khas. Perkara ini terus menjadi satu budaya dalam masyarakat kita. Yang dipentingkan adalah betulnya bacaan dengan makhraj dan tajwid yang mantap namun perihal makna al-quran kurang diambil berat.

Kita selalu ucapkan al-quran itu adalah panduan hidup yang perlu sentiasa dibaca. Namun adakah satu manual itu berguna jika hanya dibaca tanpa difahami tak ubah seperti burung kakak tua yang berkata-kata tanpa isi. Namun begitu, tidaklah dinafikan adanya ganjaran bagi mereka yang membaca al-quran tapi matlamat sebenar al-quran itu diturunkan tidak akan tercapai.

Kita semua harus sedar bahawa isi utama al-quran adalah keimanan. Bagaimanakah kita mahu mendapatkan keimanan yang mantap tanpa ditadabbur dan dihayati setiap baris ayat dalam manual kehidupan itu?? Mungkin kita juga perlu tanya pada diri sendiri, selama kita hidup ini mungkin hampir atau lebih 20 tahun, berapa kalikah kita khatam al-quran bersama-sama dengan maksudnya sekali??

Zaman dahulu wujudnya generasi al-quran yang unik kerana setiap aspek kehidupannya berpaksi kepada apa yang di sebutkan di dalam al-quran. Tidak mustahil untuk kita menjadi seperti mereka dengan syarat kita mengambil inisiatif untuk memahami isi kandungan al-quran. Dengan kemodenan teknologi zaman ini, saya yakin dan pasti dalam setiap telefon bimbit anak muda akan wujudnya aplikasi al-quran beserta terjemahan dan banyak juga terjemahan yang dijual di kedai yang mudah dibawa di dalam beg di mana sahaja kita pergi. Jadikanlah al-quran itu teman kita nescaya dia akan menemani kita di kubur kelak.

Kita amat bersyukur dengan kerja keras orang tua kita mendidik kita dengan didikan agama yang baik dan amatlah penting untuk kita menambah baik apa yang kurang dan teruskan untuk generasi masa depan. Suka juga untuk dianjurkan kepada anak muda untuk mengambil satu inisiatif mencuba sedaya upaya membaca al-quran beserta terjemahan dan mengelakkan membaca al-quran yang tanpa terjemahan(kecuali yang fasih berbahasa arab). Seperti mana yang saya cuba jelaskan tadi, kita bukan sekadar inginkan pahala tapi kita ingin merasakan indah dan manisnya iman yang dirasai para sahabat apabila turunnya al-quran kepada mereka.

Saya yakin, jika anak muda mula mentadabbur al-quran dan memahami isi kandungannya, masalah-masalah yang disebut-sebut berkait dengan anak muda remaja akan dapat diatasi dengan lebih baik dan insyaAllah akan berkurangan dengan drastik.

Doakan kita termasuk dalam golongan yang tsabat(teguh) dalam ketaatan kepadaNYa

3 comments:

Aku Dan Sesuatu said...

Ajaran-ajaran yang termuat dalam Alquran adalah kalam Allah yang
terakhir untuk memberikan petunjuk dan bimbingan yang benar kepada
umat manusia, inilah yang dikehendaki oleh Allah Taala supaya tetap
sepanjang masa, kekal untuk selama-lamanya. Maka dari itu jagalah kitab
Alquran agar tidak dikotori oleh tangan-tangan yang hendak mengotori
kesuciannya, hendak mengubah kemurniannya, hendak mengganti isi yang
sebenarnya atau pun hendak menyusupkan sesuatu dari luar atau
mengurangi kelengkapannya.
Allah Taala berfirman, “Sesungguhnya Alquran adalah kitab yang
mulia. Tidak akan dihinggapi oleh kebatilan (kepalsuan), baik dari hadapan
atau pun dari belakangnya. Itulah wahyu yang turun dari Tuhan yang Maha
Bijaksana lagi Terpuji.” (Q.S. Fushshilat:41-42)

nwz3rd said...

salam...mintak izin copy entry ni utk dishare bersama2 dgn member satu batch...bley kan?

d4uh said...

@nwz3rd : silakan..share dgn sapa2 pon boleh..hee

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...