March 12, 2012

Jiwa Kosong

"AKU JIWA KOSONG"

Itulah yang tertulis di belakang baju-T seorang remaja yang sedang bersiar-siar di Jalan Bukit Bintang sambil memegang pinggang seorang wanita yang masih di usia yang mentah. Jikalau dia tidak memakai baju tersebut pun kita sudah dapat mengagak bahawa jiwanya kosong. Yang penuh hanyalah al-hawa dan dirinya sendiri.

Ya, manusia itu punya jasad dan jiwa. Ramai dari kita cukup prihatin akan penampilan jasadi. Jika kurus mahu digempalkan sedikit supaya tampak gagah, jika terlalu gempal mahu dikuruskan sedikit supaya tampak lebih macho. Bagi golongan wanita pula, bila keluar dari rumah, di sapukan foundation di muka, menutup jerawat yang baru tumbuh di dahi, risau kalau-kalau dipandang lelaki. Dicalitkan pula Lipice merah jambu yang terang ke bibir membuatkan drebar bas pun terpaku.

Kadangkala kita cuba mengisi jiwa dengan dunia. Di hiaskan dengan kemewahan, segala bentuk hiburan dan segala macam perkara yang kita anggap dapat mengisi kekosongan jiwa. Namun yang jelas, semua benda itu tidak dapat memenuhi fitrah jiwa yang mana tempat ditiupkan ruh oleh Yang Maha Kuasa yang sifatnya suci.

Jiwa itu takkan dapat dipenuhi selagi ianya bukan perkara fitrah yang suci. Tidak hairanlah jiwa itu tenang pabila mendengar alunan ayat suci, mengajak manusia kepada perbaikan dan mencegah yang mungkar, tidak hairanlah jika kita mengingatiNya jiwa menjadi tenang kerana Dia juga mengingati kita.

Moga kita kembali kepadanya dengan jiwa yang tenang( qolbin saleem) dan bukannya dengan jiwa kosong.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...