March 13, 2012

Kita cepat melatah



Sudah menjadi fenomena di zaman muka buku sekarang ini manusia suka berkongsi apa yang di anggapnya menarik dan boleh memberi pengajaran kepada rakan-rakan yang lain. Memang tidak disangkal perkara ini amatlah positif. Manusia sekarang lebih suka untuk mengisi kekosongan jiwa dengan ilmu dan mengajak manusia lain kepada kebaikan.

Berkongsi itu amalan yang cukup baik, namun begitu, nampaknya kita mudah melatah, terlebih lajak dari laju. Sebelum ini pun pernah muncul artikel-artikel yang isinya semacam membawa kepada kebaikan namun kesahihannya cukup dicurigai. Dikatakan dari ulama ini dan ulama itu namun yang menulis artikel tersebut bukanlah ahli dalam bidang yang ditulis tapi bilangan share mencecah ribuan kali. Sedangkan kita sendiri tidak pasti mengenai sesuatu, tapi kita dengan bangga mengklik ikon share. Ini adalah satu tabiat yang tidak sihat.

Contoh yang gempar baru-baru ini adalah Kony 2012. Video berdurasi 30 minit memenuhi feeds mukabuku dan menjadi global trend di twitter. Ramai antara kita menerima bulat-bulat apa yang di tunjukkan di dalam video tanpa di selidiki, tanpa dilihat kedua-dua sisi. Malah, negara Uganda pun pertama kali kita dengari. Bukanlah bermaksud Kony itu orang yang baik, tetapi one side view akan menjadikan kita orang yang bias. Tidak semena-mena kita menjadi penghukum.

Kisah yang lebih dekat dengan kita adalah berita seorang ibu yang ditinggalkan anaknya di hotel beberapa hari lepas. Heboh segalaksi muka buku. Ada yang mencela, ada yang melaknat, ada pula yang mendoakan neraka kepada anak tersebut. Pernahkah terfikir bagaimana kita hendak memohon maaf dari anak tersebut jika kita ada terlaknat beliau. Berbuat dosa dengan Allah itu ampunannya taubat namun berbuat dosa dengan manusia itu tiada ampunan melainkan yang dizalimi memaafkan kita. Semua ini adalah kerana kita bersifat emosional dan bukannya analitikal. Menerima dan mempercayai suatu perkara hanya dari satu sumber dan yang paling jelas sekali kita cepat sangat melatah.

p/s: Teringat ayat ke-6 dalam surah al-Hujurat.

March 12, 2012

Jiwa Kosong

"AKU JIWA KOSONG"

Itulah yang tertulis di belakang baju-T seorang remaja yang sedang bersiar-siar di Jalan Bukit Bintang sambil memegang pinggang seorang wanita yang masih di usia yang mentah. Jikalau dia tidak memakai baju tersebut pun kita sudah dapat mengagak bahawa jiwanya kosong. Yang penuh hanyalah al-hawa dan dirinya sendiri.

Ya, manusia itu punya jasad dan jiwa. Ramai dari kita cukup prihatin akan penampilan jasadi. Jika kurus mahu digempalkan sedikit supaya tampak gagah, jika terlalu gempal mahu dikuruskan sedikit supaya tampak lebih macho. Bagi golongan wanita pula, bila keluar dari rumah, di sapukan foundation di muka, menutup jerawat yang baru tumbuh di dahi, risau kalau-kalau dipandang lelaki. Dicalitkan pula Lipice merah jambu yang terang ke bibir membuatkan drebar bas pun terpaku.

Kadangkala kita cuba mengisi jiwa dengan dunia. Di hiaskan dengan kemewahan, segala bentuk hiburan dan segala macam perkara yang kita anggap dapat mengisi kekosongan jiwa. Namun yang jelas, semua benda itu tidak dapat memenuhi fitrah jiwa yang mana tempat ditiupkan ruh oleh Yang Maha Kuasa yang sifatnya suci.

Jiwa itu takkan dapat dipenuhi selagi ianya bukan perkara fitrah yang suci. Tidak hairanlah jiwa itu tenang pabila mendengar alunan ayat suci, mengajak manusia kepada perbaikan dan mencegah yang mungkar, tidak hairanlah jika kita mengingatiNya jiwa menjadi tenang kerana Dia juga mengingati kita.

Moga kita kembali kepadanya dengan jiwa yang tenang( qolbin saleem) dan bukannya dengan jiwa kosong.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...