Alkisahnya di sebuah kampung, ada seorang budak yang mempunyai sebuah reban ayam yang boleh tahan besarnya. Kerja budak tu hari-hari adalah kutip telur ayam. Hari-hari dia kutip telur ayam. Telur ayam dikutip hari-hari.
Budak ni ada banyak perangai busuk, salah satunya suka sangat berkaki ayam semasa mengutip telur ayam yang hari-hari dia kutip. Mestilah semua maklum, ayam ini adalah binatang bernyawa,hidup dan perlu mengisi perut dengan makanan. Yang dimakan mestilah diproses. Yang diproses mestilah dikumbah menjadi taik. Arakian berselerakanlah taik-taik ayam di reban ayam milik budak itu.
Secara teori kalkulusnya, secara automatiklah taik-taik akan bertempekan di kaki budak yang berkaki ayam. Namun, budak itu seperti tidak mengendahkan tempekan taik-taik ayam pada kaki ayamnya. Mungkin kesejukan taik ayam memberikan satu kepuasan,nikmat kepada budak yang tidak dapat dirasai orang kebiasaan. Hari demi hari, taik-taik di kaki masih juga tidak di basuh, iyalah, jarak hidung dan kaki itu kan jauh. Tidak sampai pula bau taik ke hidung budak. Dibiarkan saja taik-taik mengeras di kakinya hinggakan boleh melawan kasut tumit tinggi Kak Timah,minah ranggi kampung sebelah.
Dalam tak sedar, kasut taik ayam ini bukanlah seperti kasut 'Crocs' yang dibeli di uptown Wakaf Che Yeh. Rupanya di sebalik tapak kasut taik ayam milik budak itu, kakinya semakin hari makin rosak dimakan bakteria,virus dan kuman dari taik ayam. Akhirnya, kaki sudah tidak boleh diselamatkan, terpaksalah Pak Kamis menuangkan cuka getah ke atas kaki budak itu. Hancur luluh lah kasut taik ayam bersama-sama kaki budak yang kerjanya hari-hari mengutip telur ayam namun terlupa bahawa ada taik ayam di sekelilingnya yang membawa mudarat.
Hidup kita ini tak ubah seperti hidup budak itu, dalam kita mengejar perjuangan dan mencari keredhaan, kita terlupa akan dosa-dosa kecil yang ada di sekeliling. Jangan biarkan ianya terkumpul dan menghitamkan hati yang kita takkan nampak,kita takkan bau, kita takkan rasa. Jangan sampai hati dibakar baru hendak berubat.
Mahu ubatnya??
Marilah sama-sama kita pikirkan!!!