2:185
Aku pernah menulis mengenai Ramadan 4 tahun lepas yang menjadi post paling awal di blog Pikiranku, It's Ramadhan, not fasting month, siap tulih dalam bahasa omputih lagi tuh. Maaf jika bahasa yang digunakan ketika itu agak kebudak-budakan yang comel.
Mungkin kali ini nak membawa dimensi lain dan membetulkan pikiran kepada pemahaman mengenai bulan Ramadan. Di zaman ini, kita sering dikelirukan oleh media, iklan raya lebih menyerlah daripada iklan Ramadan. Artis-artis sejak dari bulan lepas berhempas pulas menyiapkan penggambaran untuk episod khas raya, konsert raya, raja lawak raya yang bakal memenuhi kaca TV di pagi raya. Itulah fenomena yang berlaku di tempat sendiri.
Tahukah kita apa itu bulan Ramadan? Adakah ianya semata-mata bulan puasa? Ataupun ianya dikira sebulan sebelum tibanya hari raya? Ke memang kita main taram saja?
Tahukah kita satu-satunya nama bulan yang disebut di dalam quran adalah bulan Ramadan? Tidak pula disebut bulan Safar, Zulhijjah apatah lagi Ogos mahupun September.
Dan yang paling menariknya, dalam surah al-Baqarah ayat 185, bulan Ramadan itu disebut bulan istimewa yang diturunkan al-quran di dalamnya sebagai petunjuk kepada manusia selepas itu barulah dikaitkan dengan puasa.
Inilah satu perkara yang kita jarang terdetik untuk memahami. Ramadan sebenarnya adalah bulan al-quran. Istimewanya nabi Muhammad SAW adalah kerana mukjizat al-Quran. Beruntungnya umat akhir zaman kerana adanya al-Quran sebagai petunjuk. Sempurnanya kehidupan ini atas sebab turunnya al-Quran menjadi manual kepada kehidupan.
Tapi kita sering memandang enteng. Bulan Ramadan hanyalah sekadar bulan berlapar dahaga, bulan berbazar Ramadan, bulan bermalas-malasan, bulan bermoreh, bulan bermain mercun, bulan menukar set kusyen baru, bulan menempah berpasang-pasang baju melayu serta baju kurung, bulan menanti kepulangan ke kampung halaman.
Tahun ini, mari kita sama-sama tukar cara kita berhadapan dengan Ramadan. Bermula tahun ini, bila orang tanya ini bulan apa, kita jawab ini bulan diturunkan al-Quran petunjuk hidupku. Tahun ini ucapan kita bukan lagi sekadar selamat berpuasa, tapi ditambah pula selamat mendekatkan diri dengan al-Quran. Bukan setakat itu sahaja, kita gunakan semangat Ramadan untuk betul-betul belajar mencintai al-Quran. Membaca, memperbetul bacaan, mentadabbur, memahami dan mengamalkannya. Memanglah dalam masa sebulan ini tidak mungkin untuk diserap semua isi al-Quran. Tapi yang penting kita mulakan dari sekarang daripada tidak dimulakan langsung.
Berhentilah berlumba untuk mengkhatamkan al-Quran jika sekadar membaca tanpa memahami walau sepatah pun. Cuba wajibkan diri kita untuk setiap kali membaca al-Quran bersama terjemahannya sekali. InsyaAllah lebih berkat dan barulah tercapai tujuan al-Quran sebagai petunjuk. Bagaimana nak menjadi petunjuk jika tidak pernah memahami isinya, betul tak?
Dengan dekat dan cintanya kita kepada al-Quran, aku yakin dan pasti Ramadan kali ini akan menjadi luar biasa berbanding tahun-tahun yang lepas. Moga sahurnya lebih barakah, puasanya lebih manis, iftarnya lebih bermakna, terawihnya lebih khusyuk, dan qiamullailnya lebih menusuk jiwa yang telah mengeras sepanjang sebelas bulan yang lepas.
Moga kita dianugerahkan bulan Ramadan yakni bulan al-Quran yang terbaik kali ini.
2 comments:
ramadhan kareem ya akhi ~~
may this month be full of baraqah for you and your dear ones, iAllah.
assalam.
@anon: same goes to you..may we get the forgiveness from Him
Post a Comment