Rupa-rupanya keluar sahaja dari rahim ibu, kita sudah fasih berbahasa. Bahasa yang di fahami oleh semua peringkat bayi. Bahasa Tangisan. Nikmat Allah yang pertama kepada setiap manusia(kecuali yang dilahirkan bisu), tidak kira bangsa atau warna kulit, semua berkomunikasi dengan bahasa sama. Kemudian apabila sudah semakin besar, bahasa ini makin berkembang atau dengan kata lainnya makin maju. Maka timbulnya pelbagai diksi, kosa kata dan juga gaya yang menarik.
Setiap masyarakat bangga dengan bahasa yang di perolehi turun temurun. Malah dilagukan pula 'Bahasa Jiwa Bangsa'. Namun apabila bahasa dipandang rendah, di lihat sebagai ketinggalan zaman, di anggap sudah tidak relevan maka mulalah mencari bahasa lain sebagai pengganti. Sehingga sanggup menganaktirikan bahasa ibunda. Bunyi pun pelik kan. Ibu jadi anak tiri. Kononnya mahu mentamadunkan masyarakat. Mentamadunkan bangsa dengan bahasa asing. Mungkin kena cipta pula lagu 'Bahasa asing jiwa bangsa'.
Tidak perlu di ceritakan lagi kejayaan negara-negara bertamadun yang langsung tidak menggunakan bahasa asing. Setia dan percaya akan kekuatan bahasa yang dimiliki. Ilmu tiada berkurang sedikit, tetapi bertambah banyak.
Yang perlu diubah bukanlah bahasa yang digunakan tetapi manusia yang menggunakan bahasa. Jika pemikiran pengguna bahasa masih lagi di peringkat sekarang ini maka, gunalah bahasa apapun, hasilnya masih sama. Tidak akan berganjak sedikit pun. Rasanya tak perlu menulis panjang. Takut nanti bahasa aku disalah faham pula.
p/s: Aku paling anti kalau ada dua orang yang sama bangsa bersembang menggunakan bahasa asing. Maaf jika tersalah kutuk nanti kalau terserempak dengan aku.
p/s/s: Jika dulu sibuk pasal isu perkauman, sekarang sibuk isu perbahasa-an pula.